SAYA mengucapkan tahni­ah kepada kerajaan khusus­nya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Ban­daraya Johor Bahru (MBJB) yang te­lah bekerja keras sehingga mem­bolehkan Kuala Lumpur dan Jo­hor Bahru disenarai sebagai bandar raya kedua dan ketiga terbaik untuk didiami di Asia Tenggara.

Tempat pertama bandar raya terbaik untuk didiami di Asia Tenggara berdasarkan Ranking Kualiti Hidup Mercer 2017 adalah Singapura.

Senarai itu dikeluarkan oleh sebuah firma perunding dari United Kingdom, Mercer, pada 15 Mac lalu di laman webnya.

Maklumat yang disediakan itu sering dijadikan rujukan oleh syarikat multinasional untuk menentukan negara paling sesuai untuk didiami oleh ekspatriat.

Sebanyak 450 bandar raya di seluruh dunia telah dinilai berdasarkan 10 kriteria antaranya politik dan sosial, ekonomi, perkhidmatan kesihatan, pendidikan, pengangkutan awam, rekreasi, barangan pengguna serta kemudahan perumahan.

Dalam pada itu, saya berharap semua pihak tidak cepat berpuas hati dengan status itu disebabkan kedudukan Kuala Lumpur di peringkat dunia masih lagi ketinggalan.

Berdasarkan ranking berkenaan, Kuala Lumpur pada kedudukan ke-86 berbanding Singapura (25). Bangkok berada pada kedudukan 131, Manila (135) dan Jakarta (143).

Walaupun jauh mendahului bandar raya lain di negara-negara jiran, Kuala Lumpur masih ketinggalan berbanding 10 bandar raya terbaik dunia yang kesemuanya terletak di Eropah, Australia dan New Zealand.

Bandar raya itu adalah Vienna (Austria) diikuti Zurich (Switzerland), Auckland (New Zealand), Munich (Jerman), Vancouver (Kanada), Dusseldorf (Jerman), Frankfurt (Jerman), Geneva (Switzerland) dan Copenhagen (Denmark).

Basel (Switzerland) dan Sydney (Australia) berkongsi kedudukan pada tangga ke-10.

Untuk menjadi yang terbaik, Kuala Lumpur harus mencontohi bandar raya yang berada pada kedudukan teratas iaitu Vienna yang telah mendapat gelaran sama untuk tempoh lapan tahun berturut-turut.

Bandar raya yang mempunyai 1.8 juta penduduk itu banyak menempatkan ibu pejabat badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Saya berharap pihak kerajaan tidak terlalu ghairah untuk membina bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur kerana struktur seumpama itu bukanlah ukuran untuk dinilai sebagai bandar raya terbaik bagi didiami dan dipilih badan antarabangsa sebagai ibu pejabat.

Bangunan tertinggi di Vienna adalah DC Tower 1 iaitu setinggi 250 meter. Menara Berkembar Petronas pada ketinggian 451.9 meter, hampir dua kali ganda lebih tinggi.

Pelancong yang pernah melawat Vienna sudah pasti akan melihat keunikan bandar raya itu kerana mempunyai banyak kafe, muzium dan bangunan khusus untuk persembahan teater dan opera.

Semua kemudahan itu diambil kira oleh Mercer dalam menentukan bandar raya terbaik untuk didiami.

Bandar raya di tepi sungai Danube itu juga mempunyai pengangkutan awam cekap dengan kemudahan bas, trem dan kereta api bawah tanah. Orang ramai juga boleh berbasikal dari satu tempat ke tempat lain.

Sementara itu, saya cukup bimbang dengan keasyikan pihak pembangkang mengadakan demonstrasi jalanan seperti perhimpunan haram Bersih dan masalah kesesakan jalan raya di pusat bandar raya kerana perkara itu akan menjejaskan kedudukan ranking Kuala Lumpur.

MINAH KARAN

Kuala Lumpur