Selama ini, penyertaan MCA dan MIC dalam kerajaan telah memberikan banyak manfaat kepada kaum Cina dan India.

Pun begitu, masyarakat bukan Melayu yang berbudaya sukuan sebenarnya mempunyai emosi yang aneh lagi kompleks dalam membuat pemilihan politik.

Walaupun MCA dan MIC banyak berjasa kepada komuniti masing-masing tetapi kedua-dua parti itu sering dipertikaikan masyarakat itu.

Kaum bukan Melayu sebenarnya menaruh harapan yang amat tinggi dalam politik kerana mereka menginginkan parti politik yang berprestasi jauh lebih baik daripada sedia ada.

Sebab itu, tidak pelik jika ada pengundi bukan Melayu menganggap parti-parti pemerintah yang mereka pernah sokong dahulu itu lembab dan tidak menepati citarasa semasa.

Malah ada sesetengahnya begitu fanatik dan mahu parti-parti yang tidak lagi dirasakan relevan disingkirkan terus daripada arena politik Malaysia.

Akan tetapi, cuba kita bayangkan sekiranya satu tsunami politik berlawanan berlaku apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) tiba-tiba tumbang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan UMNO pula yang memperoleh kemenangan muktamad. Apakah akan terjadi kepada senario politik Malaysia?

Jika MCA dan Gerakan pula tidak lagi berada dalam gagasan BN pada waktu itu, maka satu situasi di mana kaum Cina sama sekali tidak diwakili dalam kerajaan mungkin timbul. Adakah komuniti Cina mahu mengambil risiko politik seperti ini?

Saya rasa itulah punca MCA membuat keputusan kekal dalam BN walaupun semua pihak tahu parti itu kini berada dalam kegelisahan dan sering merasakan sudah tiba masanya untuk keluar dari gabungan yang telah wujud sejak sekian lama.

Kepada pihak-pihak yang kesal dengan keputusan MCA kekal dalam BN, saya ingin bertanya berdasarkan realiti politik semasa, mampukah MCA dan Gerakan memenangi sebarang kerusi tanpa sokongan kaum Melayu dan kaum-kaum lain?

Sanggupkah MCA dan Gerakan membentuk sebuah kerajaan sendiri tanpa bekerjasama dengan mana-mana pihak?

Sebenarnya, selepas PRU-14, transformasi politik dengan satu naratif (cerita) baharu sedang menunggu MCA.


AWANG CAHAYA
Kuala Lumpur