Selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan gaji minimum RM1,050, kenapa cabaran serupa tidak diajukan Syed Saddiq kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad atau mana-mana anggota Kabinet?

Dengan kenaikan hanya RM50 berbanding gaji minimum terdahulu, ada pula wakil rakyat bakal menikmati kenaikan elaun kehadiran sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada RM75 kepada RM500 sehari. Saya ulang, sehari bukannya sebulan.

Di mana suara Syed Saddiq? Rakyat yang gajinya paling kecil cuma naik RM50 sebulan, wakil rakyat yang sudah menikmati gaji dan elaun lebih RM30,000 sebulan naik lagi elaun sebanyak RM425 sehari?!

Itu baru di Selangor, pastinya negeri-negeri lain akan ikut sama sedangkan setiap hari Menteri Kewangan menyebut hutang negara RM1 trilion, kerajaan tiada pendapatan tanpa cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan bakal tambah beberapa jenis cukai baharu pula.

Bunyinya seperti saya marah, memang saya marah.

Saya dan anak-anak muda di Johor bersama-sama memberi sokongan kepada Syed Saddiq dan pemimpin muda dalam PH untuk bawa perubahan tetapi bila mereka sendiri melakukannya, langsung tiada suara membantah.

Berat sama dipikul ringan sama dijinjing!

Sudah bersama, senang pun biar bersama. Jika wakil rakyat yang ada masih juga memikirkan perut sendiri sahaja tanpa pedulikan rakyat ‘melopong’, apa guna kami buat ‘perubahan’?

GAGASAN MUDA

Muar, Johor