Di Barat, cara sama digunakan Hollywood untuk memburukkan paderi dan gereja bukan sahaja bagi memisahkan institusi agama daripada kehidupan berasaskan perundangan sivil malah mencuci minda (brain wash) orang ramai supaya sentiasa memandang serong terhadap sebarang usaha menerapkan agama dalam mana-mana aspek kehidupan.

Ini akhirnya menjadi ‘pendinding’ paling kuat untuk golongan liberal menekan institusi agama agar tidak berani mencampuri sebarang aspek kehidupan sosial dan sekiranya ada juga melawan ‘norma’ ini akan dilabelkan sebagai pelampau agama.

Situasi sama semakin hari semakin menebal di negara ini khususnya bagi orang Melayu Islam apabila filem dan drama tempatan acap kali memberi imej dan watak jahat kepada golongan agamawan.

Terbaharu, nama ‘Husna’ dimaki dan dicaci setiap hari disebabkan satu drama sensasi yang tidak realistik. Adakah mereka yang mengutuk nama ‘Husna’ itu lupa kepada Asmaul Husna (99 nama Allah SWT)?

Dengan imej bertudung (menggambarkan Islamik) menentang yang tidak cukup kain dan mendedahkan aurat (menggambarkan pejuang keadilan). Itu baru satu drama, banyak contoh lain yang bukan sahaja memburukkan orang bertudung malah watak jahat utama adalah imam dan ilmuan agama.

Sedar atau tidak, imej tudung dan alim itu akan dilabel umum sebagai orang yang jahat atau mempunyai niat tidak baik terhadap orang lain. Berilah apa jua alasan, itulah impak akhir paparan drama dan filem sebegini.

Tidak cukup dengan menyatakan pakaian tidak menggambarkan dalaman serta nilai-nilai murni seseorang kerana kesannya tetap sama, penampilan watak jahat itu dijadikan ciri utama masyarakat melihat seseorang sebagai baik atau buruk.

Ingatlah, di bumi bertuah Tanah Melayu ini sendiri semakin hari semakin sukar mencari lelaki atau wanita yang betul-betul menutup aurat mahupun membawa imej Islam. Lebih menggerunkan mahu mencari pasangan dara dan teruna juga sudah menjadi sukar pada zaman ini.

‘Serangan’ terhadap pemakaian rapi Islam yang menutup aurat akan menyebabkan semakin ramai takut untuk mengamalkan cara hidup Islam akibat tekanan pandangan masyarakat.

NURUL HIDAYAH HASHIM

Kuala Terengganu