Sifat ini amatlah penting kerana ia dapat memacu ke arah pembentukan akhlak dan sahsiah terpuji.

Tanpa jati diri yang utuh akan menyebabkan sikap terikut-ikut dengan budaya asing dalam kalangan masyarakat termasuklah orang Islam sendiri.

Perkara ini amat dititik berat dalam Islam kerana jati diri dan pendirian yang utuh mempengaruhi kepemimpinan.

Dalam Islam, jati diri seorang muslim sangat berkait rapat dengan akhlak dan sahsiah terpuji seperti amanah, adil dan bertanggungjawab.

Dalam konteks belia dan mahasiswa, persoalan jati diri sangat kritikal. Apa yang kita lihat, rata-rata mereka sememangnya mudah terpengaruh dengan budaya asing, termasuk lebih mengutamakan hiburan berbanding berusaha membina akhlak diri yang unggul.

Tidak dinafikan bahawa hiburan adalah fitrah manusia, namun ia haruslah dikawal dengan baik agar tidak membinasakan maruah dan imej baik diri, keluarga, agama, bangsa serta negara.

Krisis jati diri yang disentuh dalam tulisan ini bukan satu omongan kosong, tetapi telah dibuktikan dengan beberapa isu atau insiden yang berlaku di Malaysia. Antaranya isu tentang gadis Melayu yang dipeluk dan dicium penyanyi K-Pop yang pernah hangat diperkatakan beberapa tahun sebelum ini.

Berita ini telah mengejutkan seluruh rakyat Malaysia kerana yang terlibat adalah gadis Melayu yang beragama Islam dan menampilkan imej bertudung.

Isu ini mengundang pelbagai reaksi daripada pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia.

Ramai yang berpandangan bahawa remaja tersebut terlalu obses dengan budaya K-Pop.

Maka, berlakulah percanggahan pendapat yang saling menyalahkan antara satu sama lain sedangkan mereka tidak sedar akan akar kepada permasalahan ini, iaitu jati diri yang senang goyah.

Walau bagaimanapun, remaja tersebut tidak seharusnya dihina tetapi sewajarnya diberi peluang untuk memperbaiki kesilapan diri.

Isu ini membuktikan betapa pentingnya usaha membina jati diri dalam jiwa masyarakat Muslim khususnya generasi muda masa kini.

Oleh itu, program yang dapat membangunkan jati diri serta kepemimpinan pelajar perlu digiat dan disemarakkan lagi. Atas dasar ini, satu program, iaitu Festival Mimbar Bicara Al-Amin Intervarsiti 2019 (FESTMIM) akan dijayakan.

Program yang bakal dilaksanakan pada 23 hingga 24 Mac 2019 di Dewan Sri Harmoni, Kolej Kelima, UPM ini adalah anjuran Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Kelima dengan kerjasama Kelab Ikhwan Kolej Kelima, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA), Pusat Islam Universiti dan Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen UPM (WAZAN).

Program ini diadakan bertujuan memperkasa jati diri dalam kalangan mahasiswa melalui penampilan bakat kreatif dan aspek kepemimpinan Islam yang bersifat intelektual.

Program yang berbentuk pertandingan syarahan agama ini diharapkan dapat melahirkan belia bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi menjadi insan atau lebih tepat, pendakwah yang memberi manfaat kepada ummah.

Pastinya melalui program seumpama ini, ciri pendakwah dalam diri belia dan mahasiswa dapat diperkukuhkan. Antaranya kemahiran berkomunikasi dengan lebih baik dan cara penyampaian secara berhikmah.

Selain itu, mereka (pendakwah) diuji untuk melontarkan pendapat berasaskan syarak Islam, menonjolkan sifat mahmudah (terpuji) dan bijak mengawal emosi dan situasi agar perkongsian tidak membosankan audien.

Kemahiran ini sangat penting lebih-lebih lagi dalam konteks masyarakat yang semakin kompleks, keupayaan pendakwah menarik perhatian mereka untuk mendekati ajaran Islam yang sebenar menjadi cabaran utama.

Paling penting, kelebihan pendakwah muda adalah mereka lebih memahami psikologi dan kehendak generasi sezamannya.

Tidak dinafikan, kini sudah banyak stesen televisyen telah menganjurkan pertandingan untuk melahirkan pendakwah atau daei yang berkaliber.

Walau bagaimanapun, pertandingan tersebut tidak terlepas daripada unsur komersial dan keuntungan.

Berbeza dengan program anjuran mahasiswa ini, ia membawa makna dan pengertian yang berbeza.

Justeru, program FESTMIM 2019 perlu disokong oleh semua pihak termasuk media, kerana ia membantu usaha kita menjana graduan yang seimbang, holistik dan berminda keusahawanan seperti yang dihasratkan dalam lonjakan pertama,

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi), PPPM PT 2015-2025.

 

Penulis ialah mahasiswa di Fakulti Sains dan Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).