Penganalisis ekonomi, Dr. Muhammed Abdul Khalid dalam bukunya, ‘Antara Dua Darjat: Agihan Pendapatan di Malaysia’ (2017) misalnya menyatakan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) membolehkan semua kaum menikmati pertumbuhan pendapatan tinggi.

DEB yang sebelum ini juga ditohmah sesetengah pihak kononnya mendiskriminasi kaum bukan Melayu tetapi ‘tongkat’ bumiputera itu sebenarnya turut meningkatkan pendapatan serta kekayaan bukan Melayu.

Namun, masalah utama mengapa orang Melayu masih menjadi majoriti kumpulan rakyat miskin di negara ini berkait rapat dengan lemahnya tekad politik (political will) elit Melayu dalam membantu masyarakat bawahannya untuk keluar dari kepompong kemiskinan.

Misalnya pada 2014, setiap ringgit yang dimiliki oleh bumiputera bersamaan dengan RM1.38 yang dimiliki oleh kaum Cina. Kedudukan itu tidak berubah pada lima tahun sebelum itu. Hal ini disahkan sendiri Muhammed yang kini dilantik sebagai Penasihat Ekonomi kerajaan.

Walhal pada 2009, berbilion ringgit dibelanjakan untuk apa yang dinamakan ‘Agenda bumiputera’. Malah, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2018 pada Oktober tahun lalu berkata, “Semenjak tahun 2009, pelbagai inisiatif besar bagi memperkasakan ekonomi bumiputera telah dan sedang dilaksanakan”.

Soalnya, ke mana lesapnya berbilion dana kerajaan itu kalau tidak tiris di tangan elit politik, birokrat dan elit ekonomi Melayu sendiri? Sejauh mana kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini sedang dan akan membuat penelitian terhadap keberkesanan pelbagai program terdahulu memajukan ekonomi masyarakat Melayu?

Mustahil tiada peningkatan langsung antara 2009 hingga 2014 jika majoriti pemimpin Melayu termasuk segala golongan intelektual Melayu produk DEB beramanah dalam memastikan dana berbilion ringgit itu sampai kepada golongan sasar.

Apabila menyebut Melayu tidak perlukan ‘tongkat’, adakah kontraktor dan ahli perniagaan Melayu yang menikmati kekayaan dan bergelar bilionair juga bersedia membuang ‘tongkat’ yang diberikan oleh kerajaan sejak sekian lama?

Tidak adil untuk menganggap bantuan khas kepada nelayan dan pekebun serta bantuan sara hidup kepada orang Melayu miskin sebagai ‘tongkat’ ketika golongan elit Melayu masih terus memegang ‘tongkat emas’.

Masalah orang Melayu paling ramai menjadi kumpulan miskin di negara ini kerana sebahagian besar ahli politik dan ahli perniagaan Melayu mementingkan diri sendiri.

Lain pula halnya dengan tekad budaya (cultural will) rata-rata masyarakat Cina. Orang politik dan niagawan kaum itu mempunyai gerak kerja berstrategik malah bekerjasama dengan kerabat diraja Melayu dalam memajukan perniagaan mereka termasuk memohon kontrak dan projek kerajaan.

Perbezaan fahaman parti walaupun sama ada dalam MCA, Gerakan dan DAP bukan penyebab orang Cina berpecah belah dalam hal membabitkan kepentingan ekonomi, pendidikan dan budaya kaum mereka.

Pelbagai persatuan, pertubuhan dan dewan perniagaan Cina ditubuhkan membolehkan masyarakat Cina mempunyai akses permodalan dan kredit yang jauh lebih baik berbanding masyarakat Melayu.

Cengkaman jaringan ekonomi yang dikuasai kaum Cina inilah secara tidak langsung menyekat kaum bukan Cina untuk menembus masuk bidang perniagaan. Jangankan kata untuk memecah dominasi, masuk untuk turut sertai pun terhalang.

Justeru, tanggapan melalui BR1M sebagai ‘memanjakan rakyat’ atau bagaikan ‘rasuah politik’ adalah bersifat simplistik ketika 7 juta penerima bantuan tunai itu pada tahun ini melibatkan peruntukan kerajaan hanya RM6.8 bilion.

Kelas atasan Melayu yang mempunyai empayar dan warisan kekayaan yang tidak habis digunakan tujuh keturunan itu perlu membuang ‘tongkat’ mereka dahulu sebelum memaksa majoriti orang Melayu miskin tanpa simpanan, tiada aset pelaburan dan tiada aset kewangan untuk membuang ‘tongkat’.

ARIF ATAN,

Kampung Baru, Kuala Lumpur.