Bagi saya, langkah itu seharusnya dilihat secara positif bagi menggalakkan rakyat melancong ke destinasi dalam negara. Seperti bait-bait lirik lagu Cuti-cuti Malaysia yang didendangkan oleh penghibur nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, sebenarnya banyak destinasi indah dan istimewa di negara ini.

Antara tempat menarik yang boleh dikunjungi adalah kawasan pantai yang memutih bersih dan indah seperti Pantai Cherating, Pahang; Pantai Desaru, Johor dan Pantai Batu Feringghi, Pulau Pinang. Tidak dilupakan pantai yang sentiasa dikunjungi iaitu Pantai Teluk Kemang, Negeri Sembilan. Keindahan pantai-pantai di Malaysia perlu sentiasa dipelihara agar terus menjadi tarikan kepada pelancong.

Selain itu, negara ini mempunyai pulau-pulau cantik dengan kepelbagaian terumbu karang dan hidupan marin. Pulau-pulau di Malaysia juga pernah dinobatkan sebagai antara pulau tercantik di dunia. Para pelancong boleh melakukan aktiviti sukan air yang disediakan seperti menyelam, kapal layar mahupun memberi makan ikan dan hidupan laut lain. Terdapat banyak pulau bertaraf dunia seperti Pulau Tioman, Pulau Langkawi, Pulau Perhentian dan beberapa buah pulau lain di perairan Sabah dan Sarawak.

Kawasan tanah tinggi di Malaysia tidak kurang hebatnya. Bercuti di Cameron Highlands, Genting Highlands dan Kundasang, memberi satu pengalaman yang indah kepada pelancong. Dengan cuaca sejuk dan nyaman, sudah pastinya buah-buahan beriklim sejuk seperti strawberi menjadi tarikan utama pelancong. Di tambah pula dengan pergunungan sedia ada seperti Gunung Kinabalu berketinggian 4,095 meter dari aras laut dapat menarik minat penggemar sukan lasak.

Selain keindahan alam semula jadi, negara juga mempunyai bangunan-bangunan dan mercu tanda yang berdiri megah di Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan masing-masing mempunyai keunikan dan nilai sejarah tersendiri. Wajarlah bangunan ini dijadikan sebagai kebanggaan negara.

Etnik dan budaya yang terdapat di Malaysia turut memberi kelebihan yang mana terdapat kepelbagaian adat dan resam yang masih dijadikan sebagai simbol tradisi masyarakat. Para pelancong boleh menikmati makanan tradisi pelbagai kaum dan mempelajari kehidupan masyarakat majmuk di negara ini. Hal ini sedikit sebanyak memberi satu perkongsian pengalaman berharga kepada pelancong.

Keindahan alam semula jadi, kepelbagaian etnik dan budaya memberikan satu kelebihan kepada negara untuk menjadi salah sebuah destinasi pelancongan bertaraf dunia.

HAZRIEL FAIZAL PAHRORAJI
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UiTM Cawangan Johor