Walaupun terdapat banyak syarikat menawarkan pakej-pakej menarik, bukan semuanya menyediakan perkhidmatan seperti dijanjikan. Sejak kebelakangan ini, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menerima banyak aduan daripada pengguna kerana ditipu oleh syarikat agensi pelancongan.

Pada 2016, sebanyak 3,458 aduan diterima NCCC dan jumlah itu meningkat pada 2017 kepada 3,590 dengan jumlah kerugian mencecah jutaan ringgit. Antara aduan yang diterima ialah pakej percutian tersebut tidak wujud dan syarikat terlibat tidak dapat dihubungi lagi selepas membuat pembayaran sehingga ribuan ringgit.

Selain itu, tawaran yang dijanjikan juga tidak ditepati. Contohnya, pengguna dijanjikan menginap di hotel bertaraf lima bintang tetapi mendapat hotel bertaraf rendah atau tidak sama seperti diiklankan.

Pembatalan pakej pelancongan pada saat-saat akhir juga paling kerap mendapat aduan pengguna dan pihak syarikat mengambil masa yang lama untuk mengembalikan duit pengguna.

Penipuan melibatkan agensi pelancongan sangat membimbangkan dengan jumlah kerugian mencecah jutaan ringgit. Sindiket penipuan semakin licik memperdayakan pengguna. Justeru, pengguna haruslah berwaspada dalam memilih agensi. Periksa latar belakang syarikat dan buat semakan di portal rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Pihak berkuasa juga perlu mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang melanggar peraturan dan terlibat dalam sindiket penipuan.

SHABANA 
NASEER AHMAD
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)