Walaupun keluhan daripada kakitangan disuarakan, terutama mengenai kesan gangguan psikologi, kualiti masa bersama keluarga dan waktu rehat mereka, tetapi kebanyakan ketua jabatan terutama dalam kalangan pengurusan tertinggi dan pegawai sektor awam masih tidak peduli dengan apa yang berlaku.

Walaupun Surat Siaran Bahagian Pengurusan Maklumat Bil. 1 Tahun 2013: Pemantapan Penggunaan Sistem Mel Elektronik Di Agensi-Agensi Di Bawah Kementerian Pelajaran Malaysia ada dimaklumkan bahawa segala urusan rasmi adalah dilarang menggunakan alamat e-mel persendirian atau media sosial tetapi siapa sebenarnya yang akur dengan perintah ini?

Kakitangan dan penjawat awam berhak untuk tidak bersetuju menyertai kumpulan yang cuba dibentuk atau dicipta walaupun dikatakan arahan itu datang dari pegawai kumpulan tertinggi.

Ini adalah kerana media sosial yang dimaksudkan bukanlah Hak Cipta Kerajaan Malaysia dan ia tidak selamat digunakan terutama mengenai ‘Anti-Privacy’. Kita tidak patut menyalurkan maklumat kerja melalui media yang disangsikan dan berisiko.

Kebanyakan pengguna juga menggunakan telefon bimbit sendiri dan bukan dibekalkan atau disediakan oleh pihak berkuasa. Begitu jugalah kos akses internet yang ditanggung oleh pemilik telefon bimbit.

Untuk membaca pesanan yang disampaikan pengguna harus menghidupkan akses kepada internet (kos yang ditanggung sendiri) kecuali ketika waktu pejabat dalam organisasi yang menyediakan kemudahan internet percuma.

Pengguna mungkin ada yang menyedari atau tidak sedar bahawa ketika menggunakan ciri ‘chat group’ WhatsApp, mereka juga terdedah kepada penuaian data dan profil. Apa yang lebih teruk ialah WhatsApp menjadikan nombor telefon mudah alih yang tersedia, boleh digunakan untuk mengenal pasti dan mencari ahli kumpulan dengan tepat.

Tujuan WhatsApp dicipta adalah untuk membolehkan komunikasi santai antara pengguna dengan keluarga dan rakan-rakan bukannya untuk tujuan kerja rasmi.

Tentu ramai juga sedia maklum bahawa Facebook telah membeli aplikasi WhatsApp dengan nilai RM52.71 bilion ($16 bilion). Ini termasuk RM13 bilion ($4 bilion) tunai dan kira-kira RM39 bilion ($12 bilion) saham Facebook.

WhatsApp juga mengu­mumkan pada 2016 bahawa mereka akan berkongsi data pengguna termasuk nombor telefon dengan Facebook. Dalam pertukaran e-mel, mereka memaklumkan bahawa tidak menjejaki lokasi negara dan tidak berkongsi kenalan atau mesej (yang ditetapkan sebagai sulit) dengan Facebook.

Tetapi WhatsApp mengesahkan bahawa mereka berkongsi nombor telefon pengguna, pengecam peranti, maklumat sistem pengendalian, pilihan kawalan dan maklumat penggunaan dengan ‘anak syarikat Facebook’.

Ini menimbulkankan satu persoalan sama ada Facebook boleh menjejaki pengguna tersebut dengan lebih terperinci walaupun WhatsApp tidak melakukannya.

Facebook dan ‘anak syarikatnya’ menjadi terlalu kasual mengenai privasi individu, seperti yang berlaku dalam pendedahan mengenai Cambridge Analytica yang menggugat dan membahayakan kebebasan serta demokrasi.

Pernah suatu ketika dahulu Senator Datuk Mariany Mohammad Yit menyuarakan isu ini dalam persidangan Dewan Negara tetapi masih belum ada ketetapan oleh pihak berkuasa memberi kata putus.

Sudah tiba masanya kita bertindak dan berkata ‘tidak’ kepada penggunaan media sosial sebagai saluran komunikasi rasmi bagi membolehkan kita turut menikmati suasana yang tenang dan damai untuk beristirahat bersama keluarga.

Kerja sampai bila pun tidak habis kecuali anda bersara daripada perkhidmatan atau meninggal dunia. Gunakan sahaja e-mel rasmi untuk menyampaikan arahan kerja dan menjadi tanggungjawab ‘pengguna’ untuk membaca e-mel tersebut bagi mengetahui tugasan yang sedang menunggu.

PENDIDIK TEGAR