Cadangan untuk mengenakan hukuman penjara mandatori adalah amat bersesuaian pada masa ini kerana nyawa orang ramai seolah-olah bergantung kepada sikap dan belas ihsan pemandu bas dan kenderaan berat lain.

Dalam insiden terbaharu, 27 penumpang cedera apabila sebuah bas ekspres terbabas ke pembahagi jalan di KM434.9 Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Laporan awal menunjukkan bas tersebut terbabas ke pembahagi jalan dan terbalik sebelum terlajak ke lorong bertentangan dalam kejadian pukul 4.30 pagi itu.

Pada 24 Oktober lepas, lapan pekerja kilang maut manakala 44 lagi cedera dalam kemalangan yang melibatkan dua buah bas kilang dan sebuah van kilang di KM147 Lebuhraya PLUS berhampiran plaza tol Juru. Pada 24 Disember tahun lalu, sebuah bas ekspres terjunam ke tepi Lebuhraya PLUS di Muar, menyebabkan 14 orang termasuk pemandunya terbunuh.

Bagaimanapun, kemalangan maut terburuk berlaku pada tahun 2013 apabila 37 penumpang maut dan 16 orang cedera dalam perjalanan dari Genting Highlands.

Seperti biasa, selepas kemalangan sebegini berlaku, orang awam akan diberitahu bahawa operator atau pemandu yang terlibat mempunyai saman tertunggak manakala reaksi segera adalah untuk membuat siasatan dan menggantung operasi syarikat terbabit.

Saya percaya kita memerlukan langkah radikal untuk menangani masalah ini dengan menimbulkan ketakutan dan perasaan bertanggungjawab dalam kalangan pemandu bahawa mereka akan dihantar ke penjara jika didapati bersalah menyebabkan kematian penumpang atau pengguna jalan raya yang lain.

Kita memerlukan undang-undang paling tegas serta mampu memberi pengajaran bagi menangani isu pemandu cuai terutamanya dalam kalangan pemandu bas dan kenderaan berat.

TAN SRI LEE LAM THYE

Ahli Majlis Keselamatan 
Jalan Raya