Langkah itu akan membolehkan jumlah pelajar bumiputera meningkat daripada 22,500 kepada 36,000 orang manakala jumlah pelajar bukan bumiputera meningkat daripada 2,500 kepada 4,000 orang.

Walaupun isu ini telah selesai, saya ingin menyentuh mengenai persepsi salah sesetengah pihak yang menyifatkan program matrikulasi adalah pintu belakang untuk anak bumiputera memasuki universiti berbanding Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang disifatkan lebih sukar sehingga ada yang tergamak mendesak program itu dihapuskan. Sebenar, matrikulasi bukanlah semudah yang disangka.

Matrikulasi adalah program prauniversiti yang diperkenalkan pada 1999 oleh Kementerian Pendidikan untuk pelajar bumiputera. Ia bertujuan membantu pelajar melanjutkan pengajian pada peringkat ijazah pertama dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, matematik dan profesional lain.

Sebagai orang yang pernah terlibat dengan urusan pengambilan matrikulasi Kementerian Pendidikan dan Asasi Universiti Malaya (UM) secara langsung selama kira-kira 12 tahun, saya faham benar kriteria dan merit lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terlibat.

Lulusan terbaik SPM yang diambil akhirnya memberi ruang yang amat dimanfaatkan untuk merealisasikan tujuan utama penubuhan matrikulasi, bagi menjana pelajar bumiputera berkualiti dalam bidang profesional sains dan teknologi di universiti.

Pernah satu ketika sebelum pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), kira-kira 29 orang lulusan matrikulasi meraih ijazah kelas pertama dalam bidang kejuruteraan elektrikal sahaja di sebuah fakulti di sebuah universiti, belum bidang lain dan universiti lain lagi.

Cuma selepas pelaksanaan PPSMI memang wujud kesan negatif bukan sahaja lulusan tetapi juga jumlah permohonan ke program matrikulasi malah pernah jumlah pengambilan merosot tiga tahun berturut-turut. Umumnya pertambahan pada tahun ini juga dijangka mewujudkan keadaan yang serupa bagi pelajar yang diambil. Di samping itu, ada juga seruan yang meminta program matrikulasi dimansuhkan pula dengan alasan tidak adil buat pelajar bukan bumiputera.

Pada awalnya matrikulasi hanya untuk pelajar bumiputera sahaja. Tetapi mulai 2004 telah diberi peluang sebanyak 10 peratus kepada pelajar bukan bumiputera walaupun pada awalnya dimohon cuma kira-kira dua peratus. Makanya pelajar di tingkatan enam dalam jurusan sains khasnya, berjumlah 90 peratus pelajar bukan bumiputera dan cuma kira-kira 10 peratus atau kurang pelajar bumiputera.

Kini setelah kira-kira 15 tahun peluang diberi dan tanpa menjejaskan langsung kuota sains pelajar bukan bumiputera bagi tingkatan enam, matrikulasi diasak lagi untuk membuat pertambahan pengambilan. Tidakkah ini memberi bayangan akan sifat ‘tamak’ yang tidak pernah habis-habis dan tidak berterima kasih atau menghargai segala yang telah diberikan selama ini oleh kerajaan?

Apatah lagi yang mendesak agar matrikulasi dimansuhkan terus yang secara tidak langsung ‘menutup’ rezeki belajar belasan ribu anak-anak bumiputera? Memang mereka yang mendesak itu benar-benar buta perut dan buta Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan atau sengaja pura-pura buta?

Keadilan bukanlah seperti sifir angka mudah. Satu untuk kau, satu untuk aku. Dua meter untuk kau, dua meter untuk aku. Jika anak kita seorang kurus dan seorang gemuk, memberi mereka kain sama ukuran dua meter bukanlah adil namanya malah zalim.

Persetujuan untuk menghormati segala fasal dalam Perlembagaan haruslah dihormati. Janganlah hanya asyik meminta dengan tamaknya tetapi tidak pernah mahu memberi. Kelak jadilah seperti pepatah Melayu, diberi betis hendakkan paha.

Tak pernah puas-puas dengan apa yang ada.

KAMAL SHUKRI 
ABDULLAH SANI
Bekas Pengurusan Matrikulasi Kementerian Pendidikan