PAPARAN akaun Twitter milik Rhys William menyentuh mengenai penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan warga Malaysia baru-baru ini. GAMBAR MEDIA SOSIAL

Lebih memalukan bila blogger makanan mat saleh, Rhys William yang petah berbahasa Melayu menegur kenapa masih ada malah ramai warga Malaysia tidak fasih bahasa kebangsaan sekalipun sekadar perkataan-perkataan asas.

Kita perlu akui bahasa Melayu banyak diabaikan kerajaan terdahulu dengan keutamaan diberikan kepada bahasa Inggeris sehinggakan pihak swasta menggunakan bahasa penjajah sepenuhnya dalam urusan harian termasuk untuk nama projek, bangunan dan kawasan perumahan.

Ada juga yang menyindir kenapa menteri sekarang guna bahasa Mandarin menjadi isu sedangkan menteri dahulu guna bahasa Inggeris tidak menjadi masalah. Janganlah bebal dan totok sangat mempertahan idola politik, dahulu pun ditegur sekarang pun ditegur.

Isunya kenyataan bahasa Mandarin dikeluarkan dahulu atau diutamakan sebelum terjemahan menyusul, sepatutnya bahasa Melayu didahulukan diikuti terjemahan bahasa lain.

Tidak perlu bermain persepsi, saya sokong saranan membuat laporan polis dan bawa perkara ini ke mahkamah kerana telah melanggar Perlembagaan Persekutuan. Harap dapat kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan juga peguam-peguam Melayu.

FAKRUL NIZAM

Kuala Lumpur