Hari ini sukan paralimpik kian mendapat tempat di mata masyarakat walaupun tidak sehebat tumpuan kepada kejohanan sukan lain. Jurang perbezaan semakin dirapatkan melalui penambahan peruntukan, persiapan atlet, liputan dan hadiah kejohanan.

Namun berbeza dengan sukan paralimpik yang lain, Sukan Institusi Psikiatri 2018 (SKIP) di Pusat Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dari 7 hingga 9 Disember lalu lebih mencabar

MUHAMMAD ZIYAD ZOLKEFLI
MUHAMMAD ZIYAD ZOLKEFLI 

untuk mengubah stigma masyarakat bahawa pesakit mental boleh menjalani hidup normal dan bersukan sebagai sebahagian amalan gaya hidup sihat.

Walaupun orang kurang upaya (OKU) psikiatri secara fizikal kelihatan sempurna seperti manusia normal, namun mereka lebih disisihkan, diasingkan dan dijauhi masyarakat.

Tanpa peruntukan dan tajaan, kejohanan SKIP kali ini telah berjaya diadakan melibatkan 22 acara sukan yang disertai oleh 500 atlet yang mewakili 14 kontinjen dari seluruh negara. Ia menjadi medan aktiviti sukan dan sosial terbesar melibatkan pesakit yang selama ini lebih banyak menghabiskan masa bersendirian di rumah, hospital atau dalam dunia mereka tersendiri.

SKIP boleh juga disifatkan sebagai satu program pemulihan psikososial bagi menggalakkan pesakit psikiatri mencapai tahap kefungsian berdikari dalam komuniti dan menikmati kualiti hidup lebih baik.

Pengambilan ubat-ubatan dan rawatan di hospital psikiatri semata-mata tidak dapat membantu pesakit mencapai tahap kefungsian berdikari tetapi hanya boleh mengurangkan gejala penyakit mental dan menstabilkan keadaan mental.

Pemulihan psikososial membantu mereka kembali menjalani kehidupan seperti orang normal dengan kekurangan sedia ada selain sokongan keluarga, kenalan, pesakit lain, ahli perubatan dan anggota masyarakat.

SKIP adalah kempen kesedaran awam bahawa pesakit mental boleh dirawat secara alami sosial dan hidup secara normal di tengah-tengah masyarakat.

Jika Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik di Kampung Pandan, Kuala Lumpur yang dibangunkan sejak empat tahun lalu dengan kos RM49 juta adalah pengiktirafan fasiliti sukan untuk OKU maka sokongan masyarakat dengan turun ke gelanggang sukan paralimpik termasuk SKIP pada hujung minggu adalah pengiktirafan kepada atlet OKU psikiatri.

Inilah semangat sukan yang sebenar dalam memasyarakatkan sukan untuk semua.

FAIZAL RIDUAN

Yayasan Kesihatan Mental (YKM)