PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) berkata penurunan harga minyak bukan dalam manifesto PH? Pemimpin yang dahulu menjanjikan harga minyak turun telah pun menjadi menteri, bila lagi hendak turunkan harga minyak?

Slogan Barisan Nasional (BN) dahulu ‘Janji ditepati’, pemimpin PH berkata ‘Janji dicapati’. Sekarang bagaimana? Apa yang pemimpin PH janjikan semuanya bukan manifesto tetapi ‘menipu-sto’.

Saya ingat lagi ayat-ayat seperti, “sekiranya Pakatan Harapan tawan Putrajaya, tepat jam 12:01 malam harga minyak turun”. Yang berjanji itu seorang sudah jadi menteri hal ehwal ekonomi dan seorang lagi menteri perumahan.

Dahulu bila nak hapuskan tol Bagan Ajam, beri alasan kena tunggu PH ambil alih kerajaan Pulau Pinang dahulu. Sudah menang pada 2008 dan ambil alih sebagai ketua menteri tetapi bila ditanya kononnya kerajaan negeri tiada kuasa dan semuanya keputusan kerajaan persekutuan.

Apabila sudah tawan kerajaan pusat tahun ini dan ditabalkan menjadi Menteri Kewangan pun masih lagi membisu perihal tol tersebut.

Kepada Lim Guan Eng, kini sudah menghampiri 100 hari janji manifesto.

Orang yang tidak pandai bercakap adalah orang yang sememangnya membuat kerja, orang yang pandai bercakap dan berjanji adalah seorang ‘peguambela’.

Jangan malu mengakui kerajaan terdahulu mempelbagaikan inisiatif mengurangkan kos hidup rakyat. Jadilah seorang ahli politik yang matang,

Kalau difikir, ada baiknya BN tewas kerana rakyat boleh lihat cara PH memerintah.

AZAM

Johor