Ini kali pertama saya bersuara kerana dimaklumkan bangunan itu yang diambilalih daripada bangunan sekolah lama di Jalan Pudu hanya diubahsuai sebahagian bangunan sekolah menjadi asrama dan ditambah beberapa bangunan seperti auditorium, dewan makan dan kemudahan lain bersesuaian keperluan untuk sekolah seni.

Agak mustahil dengan tempoh masa hampir lima tahun sehingga penghujung Disember depan, masih tidak selesai masalahnya.

Seharusnya berpindah disegerakan kerana saya dapati kemudahan untuk satu program sekolah seni yang ketika ini menumpang di Sekolah Menengah Kebangsaan Shah Alam, Bukit Jelutong semakin mendesak.

Pertambahan pelajar sehingga tingkatan lima menjadi padat dan pengubahsuai kelas sedia ada yang diperuntukkan kepada Sekolah Seni tidak sesuai dengan perkembangan pelajar dan kemudahan asas untuk kesenian.

Malah pengambilan pelajar tingkatan satu untuk 2018 tergendala sehingga bulan Mac tahun ini yang sepatutnya masuk ke sekolah tersebut lebih awal iaitu Januari.

Saya rasa Kementerian Pendidikan terlalu lemah dan sentiasa bermain tarik tali dengan agensi lain.

Permainan birokrasi yang melampau menyebabkan perpindahan ke bangunan baharu terus tergendala.

Pihak Bahagian Kesenian dan Kokurikulum yang menjadi payung kepada sekolah seni ini turut sangat lemah dan gagal menangani isu berkaitan bangunan.

Berilah apa jua alasan, sebagai penjaga kepada anak yang bersekolah di situ kadangkala alasan diberi tidak masuk akal.

Selain itu, pentadbiran sekolah seni turut kaku dan lemah kerana didalangi dan dikawal secara jarak jauh oleh beberapa pegawai tertentu.

Pertukaran masuk guru dan jurulatih kadangkala tidak mengikut spekfikasi yang sebenar khususnya jurulatih kesenian, seolah-olah dibuat tangkap muat dan mungkin mempunyai kepentingan peribadi.

Contoh paling jelas, jurulatih kesenian yang tidak menunjukkan prestasi terbaik sebagai pemudah cara kepada pelajar hingga tidak mampu meningkatkan prestasi pelajar.

Kini jurulatih tersebut dipindah keluar daripada sekolah itu setelah berkhidmat tidak sampai dua tahun.

Lebih malang, terdapat jurulatih dan guru yang memberi jiwa dan raga menaikkan nama sekolah itu tetapi dikeluarkan atas alasan tidak sealiran dengan pentadbiran sekolah tersebut.

Oleh itu, pihak kementerian sepatutnya memberi lebih fokus kepada perpindahan ke bangunan sekolah baharu dan juga melihat pentadbiran sekolah yang sangat lemah malah menjadi kemelut dalaman antara guru.

Sebagai penjaga, kemelut dalaman di sekolah itu bermula sejak anak saya belajar di tingkatan dua dan berterusan sehingga kini.

Diharap kementerian dapat melakukan sesuatu demi perkembangan dan kecemerlangan pelajar Sekolah Seni yang dihasratkan sendiri oleh Kementerian Pendidikan.

 

BAPA SEDIH

Kuala Lumpur