Bermula awal Januari tahun ini pihak Nadi Putra telah membuat keputusan menggabungkan bas atas beberapa alasan dan ini secara tidak langsung telah memberi impak terhadap kami yang bekerja di Putrajaya khususnya masa perjalanan.

Untuk makluman, isu ini telah kami ajukan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD). Namun begitu yang agak menyedihkan kami, SPAD akur dengan keputusan tersebut.

Sebenarnya dalam isu ini, selepas berlaku penggabungan tersebut sebagai contoh melibatkan bas S01 dan D02, tempoh perjalanan untuk ke kompleks kerajaan A, B, C, D dan E dari Putrajaya Sentral yang dahulunya mengambil masa antara 12 hingga 14 minit kini memakan masa hampir 30 minit.

Begitu juga pada waktu petang. Gabungan antara bas L02 dan L05 telah menyebabkan tempoh untuk kami sampai ke Putrajaya Sentral dari pejabat memakan masa satu jam. Jika menggunakan gabungan bas S01/D02, masanya lebih pendek sedikit iaitu dalam tempoh 30 minit.

Sedangkan sebelum ini tempoh perjalanan antara kompleks kerajaan ke Putrajaya Sentral cuma 14 minit sahaja.

Berhubung dengan isu kekurangan penumpang pula, sememangnya ini menjadi asam garam dalam industri perkhidmatan pengangkutan awam. Adakala penumpang ramai dan adakalanya sedikit. Namun begitu isu ini tidak seharusnya timbul kerana sektor pengangkutan awam adalah satu kemudahan yang disediakan untuk rakyat.

Perkhidmatan pengangkutan awam bukan berasaskan keuntungan sebaliknya satu bentuk kemudahan untuk membolehkan rakyat khususnya berpendapatan rendah dan sederhana ke sana-sini. Atas asas itu mana-mana kerajaan di dunia ini akan berusaha menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam terbaik walaupun kos penyediaannya amat besar.

Cuba kita lihat perkhidmatan pengangkutan awam di luar negara terutama di negara-negara maju seperti Jerman, Jepun dan Korea Selatan. Syarikat-syarikat yang mengusahakan pengangkutan awam di negara-negara terbabit tidak mementingkan keuntungan tetapi lebih kepada perkhidmatan bagi kemudahan orang ramai.

Sepatutnya situasi yang seperti itu berlaku di negara kita. Ini yang kadangkala bermain di minda saya. Persoalannya, bagaimana Malaysia boleh dikatakan sebagai negara maju jika mentaliti syarikat pengangkutan awam masih tidak berubah.

Sesungguhnya tahap kemajuan sesebuah negara turut mengambil kira betapa hebatnya perkhidmatan awam yang disediakan untuk rakyat lebih-lebih lagi di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan seperti di Putrajaya.

PENUMPANG BAS NADI PUTRA
Putrajaya