Tempat letak kereta di Hospital Selayang yang kelihatan sesak. utusan

Pengurusan HS menyedari masalah tempat letak ken­deraan yang tidak mencukupi berikutan pertambahan bilangan pesakit dan anggota setiap tahun. Walaupun sudah beroperasi selama 17 tahun, ruang tempat meletak kenderaan tetap tidak bertambah.

Sememangnya pihak pe­ngurusan hospital dan Kementerian Kesihatan telah merancang untuk membina tempat letak kenderaan bertingkat namun masih dalam tindakan pihak kementerian.

Untuk makluman, Bahagian Pengurusan HS telah memperuntukkan sebanyak 1,048 lot parkir (898 di basement, 45 di Klinik Pakar, 61 di Kompleks Rawatan Harian, 19 di Kompleks Sukan dan 25 di Asrama Jururawat) untuk kegunaan kakitangan dan pelawat (pesakit dan pewaris). Sebanyak 45 peratus daripada jumlah lot parkir telah diperuntukkan kepada pelawat berdasarkan arahan Kementerian Kesihatan.

Beberapa tindakan jangka pendek telah diambil bagi mengurangkan kesesakan tempat meletak kenderaan seperti berikut:

* Mulai Julai 2015, pengurusan hospital mewujudkan laluan sehala dalam hospital supaya lebih kenderaan boleh diletakkan di bahu jalan tanpa menghalang laluan.

* Menyediakan kemudahan parkir percuma untuk 250 hingga 300 kenderaan di Tingkat 4, Kompleks Selayang Capitol bermula Julai 2015 dengan persetujuan pengurusan kompleks.

* Menyediakan kemudahan parkir dengan bayaran RM1 sekali masuk di Kompleks Selayang Mall dengan persetujuan pihak pengurusan kompleks mulai Februari 2016.

* Perkhidmatan shuttle van disediakan secara ulang alik setiap 45 minit bagi mengambil penumpang di Kompleks Selayang Capitol bermula Julai 2015 dan Selayang Mall mulai Februari 2016.

DR. SITI ZALEHA 
MOHD. SALLEH

Pengarah Hospital Selayang