Setiap pasangan yang berkahwin mempunyai impian untuk sehidup semati hingga ke hujung nyawa bersama dan bahagia selamanya. Namun perkara ini hanyalah dalam kisah dongeng semata-mata kerana pada dunia nyata ini terlalu banyak onak duri serta liku-liku hidup yang perlu ditempuhi bagi menggapai kejayaan dalam perkahwinan.

Menempuhi krisis kewangan dalam hidup berkeluarga terutama semasa ekonomi gawat ketika ini adalah salah satu cabaran yang perlu ditempuhi oleh banyak pasangan.

Bagi saya, setiap pasangan hendaklah mempunyai perancangan kewangan yang kukuh sebagai bekalan untuk menempuh masa depan. Sememangnya sukar bagi merealisasikan impian hidup berkeluarga tanpa menghadapi krisis kewangan, namun pasangan hendaklah sentiasa bersabar serta tidak cepat melatah dalam menempuhi cabaran seperti ini.

Perlu diakui hal tersebut memerlukan kerjasama dan toleransi daripada kedua-dua belah pihak sama ada suami mahupun isteri. Untuk itu, komunikasi dalam sesebuah keluarga amatlah penting bagi mencapai persefahaman yang padu.

Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali sebelum ini pernah berkata kebanyakan pasangan muda yang berusia 30 tahun ke bawah bercerai kerana kurang persediaan dalam memikul tanggungjawab berumah tangga terutama membabitkan soal kewangan.

Sungguhpun begitu statistik terkini menunjukkan bahawa bilangan kes perceraian di ibu kota yang direkodkan oleh Jawi turun secara mendadak apabila sehingga Julai tahun ini hanya membabitkan 64 kes berbanding 1,828 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Dalam pada itu, dianggarkan pasangan yang berkahwin di ibu kota setiap tahun adalah sebanyak 20,000 orang. Kira-kira 10,000 orang daripada jumlah itu adalah golongan muda.

Hakikatnya, kebanyakan pasangan muda memilih untuk berpisah selepas mereka gagal menangani krisis kewangan dengan baik. Seharusnya sebagai pasangan yang berpendidikan mereka perlu bijak menyelesaikan masalah kewangan secara bersama termasuk merujuk kepada mereka yang lebih berpengalaman.

Seperkara lagi adalah tentang didikan agama. Selain gagal menangani masalah kewangan kurangnya didikan agama juga adalah antara faktor berlakunya perceraian dalam kalangan pasangan muda. Antaranya pasangan tidak bersolat serta tidak mempunyai ilmu kekeluargaan Islam.

Mereka hanya bergantung kepada kursus praperkahwinan selama dua hari yang diwajibkan sebelum diberi kebenaran untuk berkahwin. Kursus itu sebenarnya belum cukup untuk menyediakan mereka untuk mengharungi kehidupan sebenar berumah tangga.

Sehubungan itu, pasangan-pasangan muda di Malaysia ini disaran mengukuhkan lagi pengetahuan dengan mengikuti pelbagai kursus lanjutan lain seperti kursus keibubapaan dan kursus berkaitan rumah tangga anjuran pihak-pihak tertentu walaupun sudah berkahwin.

PROFESOR MADYA 
DR. ROSNI SAMAH

Universiti Sains Islam 
Malaysia (USIM).