Sehingga kini burung gagak masih banyak terutama di kawasan kediaman saya iaitu di Apartmen Desa Mutiara (Blok A, B, C & D), Jalan PJU 7/15B Mutiara Damansara. Di sini saya ingin tahu adakah usaha memburu gagak ini memerlukan program spesifik seperti pertandingan menembak gagak barulah masalah tersebut dapat diatasi?

Selepas dua bulan menerima maklum balas daripada pihak MBPJ, jumlah burung gagak di kawasan kediaman saya ini masih tidak berubah. Saya sungguh hairan mengapa masalah ini gagal diselesaikan sedangkan laporan telah dibuat pada Ogos lalu.

Saya juga difahamkan persatuan penduduk juga telah membuat aduan mengenai masalah yang sama kepada MBPJ, namun tiada tindakan diambil. Tolong jangan buat kami sebegini. Selagi masalah ini gagal ditangani, selagi itu hidup kami tidak tenteram.

Untuk pengetahuan semua, gagak kerap membuang najis merata-rata dan perkara ini dikhuatiri boleh mendatangkan penyakit kepada penduduk di Apartmen Desa Mutiara ini. Ketiadaan operasi menghapuskan gagak ini juga menyulitkan pergerakan penduduk di sini kerana jumlahnya yang banyak.

Mohon pihak MBPJ mengambil tindakan segera mengatasi masalah lambakan gagak di kawasan saya ini.

 

PENDUDUK MERANA,

Mutiara Damansara, PJ.