Selain itu, ini menjadi titik penyatuan dua parti politik terbesar orang Melayu iaitu UMNO dan Pas. Mungkin natijah hasil doa umat Islam di negara ini yang mahukan penyatuan pemimpin kedua-dua parti politik ini.

Sebelum pilihan raya lalu kita sering dengar doa dari pelbagai lapisan supaya Allah satukan hati pemimpin Islam terutamanya UMNO dan Pas tetapi tidak khusus mendoakan sebagai pemerintah atau pembangkang.

Mulai saat ini, marilah kita betulkan doa Allah SWT supaya pemimpin UMNO dan Pas bersatu sebagai pemerintah kelak.

Selain itu, kita juga harus mengorak langkah secara agresif untuk mengenal pasti dan mendekati hampir 6.5 juta pengundi UMNO dan Pas dari keseluruhan 7.8 juta pengundi Melayu untuk didaftarkan sebagai ahli mahupun penyokong parti dan memastikan anak-anak mereka juga didaftarkan sebagai pengundi.

Dalam senario politik hari ini, saya percaya sebahagian besar pengundi ini sanggup menjadi ahli parti. Seterusnya, setiap pengundi Melayu mesti diberi kesedaran pentingnya setiap undi mereka.

Lihatlah bagaimana peratusan mengundi dalam kalangan orang Cina hampir 95 peratus sedangkan pengundi Melayu kurang 90 peratus. Dengan usaha dan doa yang betul, insya-Allah Islam akan kembali tegak di tanah air kita.

SALEH

Kepala Batas, Pulau Pinang