Memang diakui harga barangan masa kini agak mahal berbanding dahulu.

Yang pasti banyak rungutan orang ramai mengatakan harga yang dicatat pada sesuatu barangan itu tidak sama ketika pembeli hendak membayarnya.

Ini disebabkan SST tidak termasuk atau terkandung pada harga itu. Keadaan ini tidak sama ketika pelaksanaan cukai barangan perkhidmatan kerana cukai telah diserapkan dalam harga barangan yang hendak dibeli.

Berikutan itu, dijangkakan rakyat akan mula terasa ‘bahangnya’ dalam masa terdekat. Lambat-laun ‘bahang’ itu akan menjadi beban kepada orang ramai ditambah pula kedudukan gaji yang tidak berubah. Dengan kata lain, rakyat kini terpaksa berbelanja lebih manakala pendapatan yang diterima pula statik.

Jika dalam waktu terdekat ini bahang panas mulai dirasakan rakyat, maka perlulah ambil tindakan segera dengan berjimat-cermat. Rakyat perlu mula sedar akan kedudukan ekonomi sendiri dan keluarga. Memang sukar untuk berjimat-cermat kerana ia melibatkan pemotongan bajet harian atau bulanan yang secara langsung akan menjejaskan kehidupan. Apa pun, setiap kita perlu terima hakikat bahawa mahu atau tidak, kenalah juga berjimat. Sekarang bukan masa untuk salahkan sesiapa mahupun kerajaan yang dipilih. Yang penting, apa yang berlaku ini terutama kenaikan harga barangan, jadikan satu peringatan dan pengajaran.

IBU TUA

Sabak Bernam, Selangor