Antara program yang telah diberikan perhatian oleh Kementerian Belia dan Sukan ialah pembangunan e-sukan yang mana RM10 juta akan diperuntukkan khusus untuk aktiviti e-sukan iaitu satu aktiviti yang telah diminati oleh generasi muda yang melibatkan jurutera perisian dan pemaju permainan digital. E-sukan yang juga dikenali sebagai sukan elektronik adalah satu bentuk persaingan yang dibantu oleh sistem elektronik terutamanya permainan video.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, e-sukan telah pun mendapat pengiktirafan daripada Majlis Olimpik Asia dan akan dipertandingkan buat pertama kali dalam Sukan Asia pada tahun 2022 nanti.

Beliau juga berharap agar Malaysia tidak ketinggalan dalam perkembangan industri e-sukan yang dilihat mempunyai potensi besar di peringkat global.

Permainan-permainan e-sukan seperti Dota2, Mobile Legends, League of Legends, FIFA, Street Fighter V dan banyak lagi diharapkan dapat melahirkan lebih ramai anak muda yang berpeluang bertanding dalam acara ini di peringkat tinggi sehingga layak digelar profesional.

Tambahan pula, seperti yang kita ketahui, Asia Tenggara adalah antara rantau yang paling cepat berkembang dari segi peningkatan peminat dalam industri e-sukan ini.

Pembangunan e-sukan juga berpotensi mewujudkan pekerjaan yang berkualiti tinggi untuk belia. Pekerjaan-pekerjaan seperti pemaju dan jurutera perisian, pereka grafik dan ilustrator, serta jawatan dalam bidang pemasaran dan pengiklanan dapat membuka peluang kepada anak muda dan belia terutama dalam bidang komputer.

Seluruh masyarakat Malaysia diharap dapat menyokong perkembangan industri e-Sukan memandangkan masa depan industri ini begitu cerah. E-sukan merupakan salah satu pengantaraan yang boleh membantu anak muda agar dapat bergerak lebih maju ke hadapan dan bukan sebagai salah satu aktiviti yang membuang masa.

E-sukan juga dipercayai dapat membuka peluang kepada rakyat Malaysia dalam membuktikan kebolehan mereka menerusi permainan video secara kompetitif di peringkat antarabangsa.

SITI FARHANA MOHD HALIMI

Universiti Sains Islam Malaysia