Tangkapan tujuh orang doktor oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pulau Pinang kelmarin menunjukkan bagaimana sesetengah klinik khususnya doktor bertugas sanggup menjual maruah profesion pada harga serendah RM5.

Pengesahan perubatan lesen PSV dijual pada harga RM5 hingga RM30 seperti mana MC dijual antara RM10 hingga RM50. Setakat ini, 1,259 resit dirampas SPRM dengan anggaran nilai pendapatan antara RM6,295 hingga RM37,770.

Lebih memalukan, bukan sahaja doktor klinik swasta yang terlibat kerana seorang doktor klinik kerajaan juga antara mereka yang disyaki bersekongkol dengan sindiket ‘lesen terbang’ itu sejak empat hingga 10 tahun lalu.

Doktor terbabit dipercayai turut memberi ‘izin’ kepada kerani klinik untuk tandatangani borang pemeriksaan perubatan tersebut tanpa perlu berjumpa doktor atau menjalani sebarang pemeriksaan atau ujian kesihatan.

Ada juga yang menggunakan cop dan nama doktor atau klinik yang tidak wujud pada borang pemeriksaan perubatan tersebut.

Bayangkan berapa ramai pemandu kenderaan komersial dan pengangkutan awam yang tidak layak berada di jalan raya lolos disebabkan perbuatan doktor-doktor ini.

Bunyinya macam perkara kecil, sekadar tandatangan pengesahan perubatan supaya pemandu boleh memperbaharui lesen tetapi bayangkan jika pemandu yang sakit atau mengambil dadah dibenarkan memandu di jalan raya.

Pemeriksaan kesihatan untuk lesen PSV penting bagi menapis pemandu yang tidak cukup sihat mahupun mengambil bahan terlarang memandangkan mereka membawa orang awam sebagai penumpang atau memandu kenderaan komersial yang membawa muatan berat.

Keupayaan mereka memandu mungkin terjejas jika mempunyai masalah kesihatan khususnya pada mata dan telinga atau pun mengambil bahan terlarang sehingga mengancam keselamatan penumpang mahupun pengguna jalan raya lain.

Sudah banyak kes kita dengar pemandu bas, lori mahupun teksi mengambil dadah terlibat dengan kemalangan, ada di antaranya kemalangan maut.

Tidak kurang juga sesetengah pemandu yang sudah terlalu uzur mahupun mempunyai masalah deria penglihatan masih juga memandu teksi dan kenderaan berat.

Sebenarnya saya berasa pelik kenapa Kementerian Pengangkutan dan agensi-agensi terbabit membenarkan pemandu menjalani pemeriksaan di klinik swasta memandangkan lesen PSV ini melibatkan nyawa orang awam.

Sepatutnya pemandu kenderaan komersial hanya boleh menjalani pemeriksaan di klinik mahupun hospital kerajaan mahupun unit khas di bawah agensi bertanggungjawab.

Klinik dan hospital kerajaan mahupun Klinik 1Malaysia juga mampu menguruskan pemeriksaan kesihatan asas ini memandangkan jumlah pemandu kenderaan komersial tidak begitu ramai.

Saya harap proses penapisan pemohon baharu mahupun pemandu kenderaan komersial sedia ada untuk memperbaharui lesen PSV ini diperketatkan lagi bagi mengelakkan pemandu yang mungkin membahayakan nyawa orang awam dihalang berada di jalan raya.

Selain itu, saya harap Kementerian Kesihatan perketatkan peraturan klinik-klinik swasta bagi memastikan aktiviti menjual ‘tandatangan dan cop doktor’ tidak terus berleluasa.

Saya lihat banyak juga klinik swasta yang menjalankan pemeriksaan kesihatan untuk pekerja asing mendapatkan visa bekerja di negara ini. Jangan pula selepas ini didedahkan ada ‘visa terbang’ pula oleh klinik swasta.

Jagalah maruah profesion kedoktoran, jangan kerana RM5 sanggup bersekongkol dengan orang lain menipu pihak berkuasa dan mungkin mengancam nyawa orang awam pula kelak.

ANAK DOKTOR

Keramat, Kuala Lumpur