Penulisan dalam portal tersebut menggambarkan seolah-olah Mara Digital yang dibuka khusus untuk peniaga ICT bumiputera hanya menghitung hari untuk gulung tikar.

Jika benar sudah ‘nazak’, kenapa pula sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Me­layu menuntut Mara Digital dibuka kepada peniaga bukan Melayu beberapa hari selepas laporan pertama dikeluarkan?

Saya melawat sendiri Mara Digital pada Jumaat dan Sabtu lalu dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dan terbukti laporan tersebut berat sebelah malah boleh dikatakan tidak benar sama sekali.

Pada hari Jumaat memang tidak ramai pengunjung tetapi jika dibandingkan dengan peniaga ICT di Kompleks Pertama, lebih ramai pembeli singgah dan ‘membeli’ di Mara Digital.

Peniaga yang saya temui di Mara Digital menyangkal perniagaan mereka merosot teruk sebaliknya menyifatkan perkara biasa jika jualan naik dan turun mengikut masa khususnya pada hujung minggu serta selepas mendapat gaji.

Berbanding pusat ICT lain yang mempunyai beberapa tingkat kedai, Mara Digital yang belum masuk usia dua tahun tetap meriah dengan hanya satu tingkat perniagaan ICT.

Selain masalah parkir dan kurang dipromosikan, saya lihat Mara Digital ‘gagah’ bertahan dengan saingan daripada peniaga bukan Melayu yang memegang monopoli pembekal produk ICT di negara ini.

Tiada masalah bekalan, pelanggan tetap ada malah harganya juga tidak jauh berbeza dengan peniaga di pusat ICT lain.

Dari segi harga, saya lihat mungkin ada permainan daripada pihak pembekal atau orang tengah kerana peniaga di Mara Digital mengambil stok daripada pembekal sama dan tidak munasabah peniaga bukan Melayu dapat menjual 10 peratus lebih murah jika harga stok adalah sama.

Namun, peniaga Mara Digital dapat mengatasi jurang harga dengan memberi aksesori percuma berbanding peniaga di pusat ICT lain yang memberi produk ‘kosong’ sebagai cara mengurangkan harga.

Lebih penting lagi, peniaga-peniaga di Mara Digital menyediakan perkhidmatan membaik pulih dengan harga jauh lebih rendah dan menggantikan produk rosak dengan mudah.

Saya juga dimaklumkan tiada kedai ditutup sejak Mara Digital dibuka pada 8 Disember 2015 kerana mereka percaya rezeki datang dari Allah dan bukannya ditentukan manusia.

Sambil membeli telefon baharu untuk anak, sempat saya memerhatikan rata-rata pengunjung terdiri daripada orang Melayu, India, pelancong dan warga asing.

Ini jelas tidak selari dengan kesediaan peniaga Melayu mengambil stok daripada pembekal bukan Melayu tetapi dipulaukan secara sepakat pihak tertentu atas dasar menolak perniagaan bumiputera.

Laporan portal tersebut umpama satu lagi cubaan menjatuhkan perniagaan orang Melayu dan Islam untuk mengekalkan monopoli atau mungkin takut kepada persaingan secara adil.

Sekalipun laporan itu satu usaha mensabotaj perniagaan bumiputera, saya sangat berpuas hati dengan perkhidmatan dan produk yang diberikan malah percaya rancangan menambah beberapa tingkat lagi ruang perniagaan ICT akan merancakkan lagi suasana Mara Digital.

Paling penting, saya harap peniaga bumiputera mengekalkan kebolehpercayaan, jujur dan amanah dalam berniaga sebagai aset utama serta imej Mara Digital.

Pelanggan tetap akan kembali bukan sahaja disebabkan harga tetapi lebih penting lagi kepuasan membeli dan ketenangan berurusan jika berdepan masalah dengan produk yang dibeli.

Saya juga menyarankan pihak yang mahu memberi wakaf produk-produk ICT mendapatkan khidmat dan produk daripada Mara Digital, umpama sambil menyelam minum air.

HAJI KAMARUL ZAMAN

Gombak, Selangor