Manifesto itu memasukkan agenda untuk menyediakan lima juta pelajar sekolah rendah dan menengah dengan kemahiran digital Revolusi industri Keempat (Industri 4.0) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Industri 4.0 mencakupi penemuan pelbagai teknologi terbaharu seperti automasi, Internet Saling Berhubung (IoT), analisis data besar, integrasi sistem, penggunaan robot dan teknologi perkomputeran awan.

Manifesto itu selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 yang turut disesuaikan dengan keperluan Industri 4.0 bagi melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang. Tumpuan pelan itu adalah kepada pengajaran ilmu pengetahuan yang menggabungkan bidang keusahawanan dengan teknologi terbaharu.

Sememangnya teknologi terkini memerlukan bantuan manusia untuk dipandu agar tidak membawa impak buruk kepada masyarakat.

Saya yakin graduan yang telah terdedah dengan kemahiran digital Industri 4.0 sejak peringkat sekolah rendah lagi mampu menjadi usahawan muda yang boleh mencipta peluang pekerjaan baharu bukan sahaja untuk diri sendiri malah orang lain.

Tumpuan kepada Industri 4.0, akan membawa Malaysia bergerak seiring dengan negara maju lain seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia.

NUR WATHIQAH AZEMI

Negeri Sembilan