Royalti minyak sebanyak 5 peratus itu adalah lebih kurang satu bilion ringgit yang akan diberikan secara tahunan. Ini sudah tentu dapat menampung segala permasalahan kewangan untuk mentadbir negeri-negeri berkenaan.

Para pemimpin Pas perlu bijak bagaimana untuk menguruskan perbelanjaan negeri dan pastikan segala hasil negeri dipulangkan untuk memakmurkan pembangunan negeri dan juga tidak mengabaikan segala kebajikan rakyat.

Masalah kemiskinan perlu diutamakan dan dalam masa yang sama belia-belia Terengganu dan Kelantan perlu diberikan peluang dan ruang untuk mendapatkan pekerjaan dan perniaggan serta latihan kemahiran untuk membina dan membentuk ke arah kemakmuran Terengganu dan Kelantan.

Oleh itu, kerajaan Negeri Terengganu dan Kelantan perlu mendapatkan khidmat para profesional yang mampu menyediakan garis panduan supaya segala perancangan untuk memakmurkan negeri masing-masing menjadi kenyataan.

Ja­ngan sekali-kali menyalahgunakan peruntukan yang dianugerahkan itu dan belajarlah daripada kesilapan lalu.

Setiap sen yang di­belanjakan hendaklah telus kerana ia adalah amanah daripada Allah SWT.

Jangan sekali-kali disalahgunakan walaupun untuk memperkasakan parti melainkan semua rakyat berpuas hati dan mendapat segala manfaatnya.

Apabila kerajaan Pusat memberikan royalti kepada kerajaan Terengganu dan Kelantan sudah pasti ia akan dipantau dan dinilai akan prestasi kemampuan Menteri Besar Terengganu dan Menteri Besar Kelantan mengendalikan segala peruntukan itu.

Dicadangkan supaya kerajaan Pusat dapat memberikan khidmat nasihat kepada kedua-dua negeri berkenaan.

SYED ABDULLAH JAMALULLAIL