Cabaran paling besar di universiti adalah mahasiswa perlu belajar mengurus dan mengatur kehidupan mereka sendiri. Jadi mereka perlu ambil cabaran dan pertimbangan untuk sediakan jadual kehidupan kampus dengan memberikan keutamaan kepada perkara yang penting dahulu. Mahasiswa selalunya mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri kerana di universiti mereka harus berdisiplin dengan jadual pengajian dan aktiviti luar bilik kuliah. Percayalah kehidupan di universiti adalah antara yang paling menyeronokkan dengan syarat mahasiswa tidak hanya membataskan diri dengan rutin ke kelas, makan dan tidur.

Ambil peluang untuk terlibat dengan pelbagai program di dalam kampus sama ada berbentuk ilmiah dan santai secara aktif yang dianjurkan oleh pelbagai persatuan, kelab dan badan pelajar. Ia adalah platform untuk menerokai dan menggilap potensi diri dalam bidang yang mereka gemari seperti kesenian, kesukanan dan pengucapan awam. Pada masa sama, ambil peluang mencabar diri dengan menimba pengalaman menguruskan program di kampus bermula dari majlis kecil sehingga mega bertaraf antarabangsa. Melaluinya, keyakinan diri dan kemahiran berkomunikasi dapat ditingkatkan apabila perlu berurusan dengan pelbagai pihak dan melatih diri menjadi pemimpin dan pengurus yang baik.

Libatkan juga dalam program kesukarelawan kerana ia dapat membuka pemikiran, kematangan dan menajamkan kefahaman lebih luas mengenai realiti sebenar kehidupan di luar sana. Sebagai persiapan ke alam kerjaya pula, mahasiswa juga perlu melengkapkan diri sejak di kampus dengan mencari peluang untuk memantapkan nilai-nilai kepemimpinan yang baik.

MOHD. ZAINI OTHMAN

Pegawai Tadbir USIM