Tidak hairanlah apabila pepatah Melayu ada menyebut bahawa minda yang cerdas bermula dari badan yang sihat. Apakah faedah-faedah bersukan kepada masyarakat?

Salah satu daripada faedah bersukan ialah membantu mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. Kehidupan zaman moden ini lebih banyak menggunakan tenaga dalaman dan pemikiran.

Golongan profesional dan separa profesional dalam kesibukan membangunkan negara sering kali terpaksa mengabaikan kegiatan fizikal kerana kekurangan waktu untuk tujuan tersebut.

Kesibukan semua lapisan masyarakat ini membawa kepada masalah kesihatan fizikal dan mental. Penglibatan kanak-kanak, remaja dan orang dewasa dalam pelbagai kegiatan sukan dapat menyelesaikan pelbagai masalah kesihatan.

Kegiatan sukan menjadi langkah awal seperti kata pepatah menyebut ‘sediakan payung sebelum hujan’, dalam mengawal obesiti serta penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetes dan penyakit jantung.

Kegiatan sukan juga dapat membantu mereka yang telah menghidap penyakit kronik untuk kembali pulih. Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga mampu menangani ketegangan fikiran dan meringankan bebanan mental.

Sesungguhnya kegiatan sukan dapat melancarkan perjalanan darah, mengurangkan lemak berlebihan di samping membantu sistem perkumuhan dan membuang sisa-sisa yang tidak diperlukan oleh badan.

Dalam Islam juga ada mengatakan bahawa aktiviti bersukan dapat membantu badan membuang sisa makanan dengan cara tabi’i. Ia menjadikan badan aktif, meningkatkan imuniti badan dan melindungi badan daripada penyakit.

Setiap organ ada jenis sukan yang sesuai dengan fungsinya.

Menunggang kuda, memanah, bergusti dan berlumba lari antara aktiviti sukan yang memberi manfaat kepada seluruh badan.

Selain itu, bersukan juga dapat mengisi masa lapang seseorang. Masa yang kosong amat berharga bagi setiap individu atau masyarakat kerana seseorang yang melibatkan diri dalam bidang sukan juga adalah satu cara untuk mengisi masa lapang.

Bagi golongan remaja pula, penglibatan dalam bidang sukan dapat menghindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral dan membuang masa seperti melepak, merokok dan terlibat dalam pengambilan dadah.

Sukan dapat menarik masyarakat ke arah memanfaatkan masa lapang dengan cara yang lebih baik. Di samping itu, sukan menjadi salah satu instrumen penting untuk mengeratkan hubungan perpaduan antara masyarakat.

Ini kerana kegiatan sukan dapat melahirkan semangat berpasukan. Sifat bersatu padu juga dapat dipupuk melalui penglibatan kegiatan sukan.

Dengan itu, nilai-nilai perpaduan seperti bekerjasama, bertoleransi dan meletakkan kepentingan negara dan pasukan melebihi kepentingan diri dapat dilahirkan melalui penglibatan diri dalam bidang sukan.

SITI NURSYAKIRA 
MOHD. SHUKRI

Bandar Baru Nilai