Sememangnya tidak dinafikan perubahan daripada mood persekolahan kepada percutian sedikit sebanyak menukar rutin harian anak-anak namun cabaran itu boleh diatasi sekiranya ibu bapa membuat persediaan awal untuk menghadapi cuti persekolahan yang panjang. Lebih istimewa lagi cuti sekolah kali ini jatuh pada bulan Ramadan.

Justeru, dengan kelebihan pelbagai ganjaran yang ditawarkan sepanjang bulan Ramadan, sewajarnya ibu bapa mengambil peluang keemasan ini untuk mendidik dan membimbing anak-anak mereka mendekatkan diri dengan Allah SWT melalui ibadat wajib dan sunat.

Ada juga pihak yang mengesyorkan agar ibu bapa mengambil cuti untuk tempoh seminggu memastikan anak-anak benar-benar memanfaatkan bulan Ramadan yang mulia ini. Antaranya mengajak anak-anak ke masjid atau surau setiap kali solat fardu di samping solat sunat tarawih.

Gunakan juga musim cuti persekolahan ini untuk menggalakkan anak-anak membaca al-Quran kerana Ramadan amat berkait rapat dengan kitab suci itu. Kita boleh memulakannya secara bertadarus di rumah.

Bagi anak-anak yang telah mahir membaca al-Quran, ibu bapa wajar menggalakkan mereka menyertai kumpulan tadarus di masjid serta surau. Peluang mereka untuk melibatkan diri dalam aktiviti ini terbuka luas kerana masih berada dalam musim cuti persekolahan.

Ringkasnya, Ramadan pada tahun ini memberi kita banyak ruang dan kesempatan untuk melatih anak-anak menjadi seorang mukmin yang baik dan taat. Saya yakin dengan keadaan anak-anak kita ini berpuasa, usaha mendidik mereka akan lebih mudah.

Bagaimanapun tidak dinafikan cukup mudah bercakap berbanding melaksanakan apatah lagi dengan ledakan era teknologi serta digital. Namun situasi itu tidak seharusnya menjadi halangan kepada kita untuk berusaha menjadikan anak-anak ini taat pada perintah Allah dan rasul-Nya hasil daripada tarbiah Ramadan.

Menyentuh tentang ledakan era teknologi serta digital sememangnya keadaan telah mencetuskan pelbagai cabaran terutama dalam kalangan anak-anak kita. Tidak terkecuali cabaran untuk menerapkan semangat Ramadan di dada anak-anak.

Tidak perlu pergi jauh, cukup kita perhatikan anak-anak sepanjang berada di rumah khususnya dalam bulan Ramadan ini. Berapa banyak masa yang diperuntukkan untuk bermain gajet berbanding membaca al-Quran?

Berapa lama masa digunakan untuk media sosial berbanding melakukan ibadat-ibadat sunat? Apa yang saya katakan ini adalah realiti yang berlaku. Mahu tidak mahu ibu bapa perlu memainkan peranan mereka supaya Ramadan yang sedang ditempuhi ini akhirnya memberikan banyak manfaat kepada mereka.

Jika perlu, ibu bapa harus mengehadkan penggunaan gajet dalam kalangan anak-anak bagi mengelakkan saat-saat istimewa Ramadan ini berlalu dengan sia-sia. Dalam hal ini ibu bapa perlu melakukannya secara berhikmah.

Ada juga ibu bapa yang berkemampuan membawa anak-anak ke rumah anak-anak yatim serta pusat penjagaan orang tua sepanjang bulan Ramadan ini untuk jamu golongan tersebut berbuka. Tujuannya adalah untuk menimbulkan kesedaran kepada anak-anak tersebut agar sentiasa prihatin dengan kesusahan orang lain. Aktiviti seperti ini juga wajar digalakkan.

Apa pun rancanglah sesuatu agar cuti sekolah kali ini yang kebetulan berada dalam bulan Ramadan diisi dengan sebaik-baiknya. Jangan sesekali membiar anak bersendirian menguruskan masa cuti tanpa pengetahuan, pemantauan dan panduan daripada ibu bapa.

Seperti saya katakan, jadikanlah Ramadan kali ini sebagai bulan teristimewa buat kita sekeluarga. Semoga Allah merahmati kita semua. Selamat berpuasa.

LAILA FADHILAH OMAR

Shah Alam, Selangor