Dijangka bilangan pengguna telefon pintar di seluruh dunia akan mencapai 2.7 bilion pada 2019. Malaysia sendiri merupakan salah satu negara yang mempunyai peratusan tinggi pemilikan telefon pintar iaitu kira-kira 65 peratus menerusi kaji selidik Pew Research Center.

Pengguna telefon pintar di Malaysia mencecah 11 juta tahun ini dan ia melayakkan Malaysia menduduki tempat ke-10 dunia.

Berbeza daripada zaman dahulu, kini seawal di bangku sekolah, penggunaan telefon pintar menjadi perkara biasa dan ia merupakan keperluan disebabkan perubahan arus globalisasi dunia selaras dengan kemajuan Teknologi dan teknologi komunikasi maklumat (ICT) yang pesat membangun.

Namun begitu, sejauh manakah pengetahuan masyarakat tentang penggunaan aplikasi yang terdapat dalam telefon pintar? Terdapat pelbagai jenis aplikasi yang boleh diterokai dan digunapakai sebaik-baiknya melalui telefon pintar.

Terdapat dua sistem operasi industri utama iaitu Google’s Android dan Apple’s iOS. Setiap individu yang menggunakan telefon pintar sama ada pengguna Android ataupun iOS boleh menggunakan aplikasi bergantung kepada kepenggunaan serta kepentingan individu.

Berdasar laporan kajian syarikat aplikasi data dan analisis mudah alih dunia iaitu App Annie, Facebook mencatat kedudukan tertinggi bagi aplikasi pilihan pengguna hampir di seluruh dunia diikuti WhatsApp, Lazada, Clean Master dan UC Browser.

Di Malaysia pula, Hotlink RED Maxis, MyDigi, Mudah.my dan Maybank menjadi pilihan pengguna dan tercatat dalam senarai 30 aplikasi popular di Malaysia.

Secara positifnya, penggunaan aplikasi dapat memberikan faedah hidup zaman kini yang memerlukan informasi dengan mudah dalam masa pantas. WhatsApp misalnya, merupakan aplikasi penghantaran mesej secara percuma tanpa perlu membayar penggunaannya.

Oleh itu, tidak hairan ia menjadi pilihan ramai pengguna diikuti aplikasi WeChat. Kedua-dua aplikasi ini memudahkan komunikasi dan interaksi masyarakat sejagat.

Selain itu, pembelian atau penempahan tiket juga menjadi mudah dengan menggunakan aplikasi, justeru pembelian dapat dibuat di mana-mana sahaja tanpa perlu ke laman web.

Contoh aplikasi pembelian adalah seperti TGV, GSC, Lazada, Shoopee, Booking.Com, Trivago serta Agoda. Bagi yang berminat melancong dan menjelajah, sudah tentu aplikasi seperti Lonely Planet sangat penting untuk dijadikan panduan ketika berada di negara luar.

Kemudian, bagi individu yang sibuk khasnya dan tiada masa untuk melakukan pembelian makanan di premis makanan tidak perlu risau lagi. Terdapat pelbagai pilihan aplikasi makanan segera serta makanan tempatan misalnya KFC, Pizza Hut dan Food Panda.

Pengguna hanya perlu membuka aplikasi dan membuat pesanan tanpa perlu pergi ke premis berkenaan.

Bukan itu sahaja, aplikasi pembelian barangan basah seperti ikan, udang,sotong dan daging juga ada contoh HappyFresh dan AIO Grocery Mart. Ia sangat berguna dan membantu terutama kepada suri rumah.

Seterusnya, bagi aplikasi perkhidmatan perbankan seperti Maybank2u dan Cimbclicks dapat membantu pengguna membuat urusan belian atau bayaran bil secara dalam talian dengan cepat dan secara tidak langsung menjimatkan masa.

Kemudian, aplikasi teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran merupakan suatu keperluan dalam pendidikan sekarang terutama melalui perkembangan E-Learning di Malaysia.

Namun begitu, kesemua itu hanya sebilangan kecil contoh aplikasi yang sering digunakan. Masih terdapat banyak lagi aplikasi yang boleh diterokai dan dipelajari untuk faedah penggunaannya. Sebagai masyarakat, kita harus bijak memilih serta menggunakan aplikasi-aplikasi itu sejajar dengan kepesatan pembangunan era moden ini.

Segalanya bergantung kepada individu untuk melihat sejauh mana penggunaan aplikasi ini membantu kehidupan.

AINAA MAYA
 MUNIRA ISMAIL

Universiti Teknologi Mara UiTM 
Cawangan Johor.