Akhir-akhir ini menampakkan banyak kepentingan dan keperluan rakyat diabaikan menyebabkan ramai tertanya-tanya adakah kerajaan benar-benar mahu membela rakyat.

Di sini saya meminta kerajaan supaya tidak menyekat atau menangguhkan apa jua bentuk pembangunan yang telah diluluskan di Pulau Tioman.

Penduduk Pulau Tioman tahu bahawa beberapa projek pembangunan yang telah diluluskan melibatkan sejumlah peruntukan besar kini telah ditangguhkan.

Sepatutnya kerajaan sedia ada tahu bahawa kepentingan rakyat perlu diutamakan.

Projek pembangunan yang diluluskan itu bukan untuk politik parti sebaliknya adalah demi kesejahteraan rakyat.

Sebagai contoh, projek di Salang dan Kampung Tekek dianggarkan bernilai RM10 juta ditangguhkan walaupun konsultan terbabit telah dilantik.

Malah, sepatutnya projek itu telah bermula beberapa bulan lalu.

Begitu juga projek memanjangkan jeti di Kampung Genting bernilai RM5.5 juta, juga kini telah ditangguhkan.

Lain-lain projek yang turut ditangguhkan di Pulau Tioman ialah kajian bekalan air bersih yang dianggarkan bernilai RM2.2 juta.

Turut terlibat ialah projek bekalan air luar bandar di Pulau Tioman melibatkan peruntukan lebih RM30 juta.

Persoalannya, mengapa semua projek kepentingan rakyat itu semuanya ditangguhkan?

Pilihan raya umum sudah pun berlalu dan sepatutnya sekarang ini adalah waktu bekerja demi rakyat.

Kerajaan baharu sepatutnya tidak perlu bersikap ‘undur’ kebelakang. Perlulah diingat semua projek di Pulau Tioman adalah untuk kepentingan dan masa depan.

Keperluan bekalan air bersih adalah untuk rakyat. Jika projek-projek terbabit ditangguhkan atau disekat, akhirnya rakyat akan menjadi mangsa.

Rakyat yang akan rugi dan pelancong pula tidak mahu berkunjung lagi ke Pulau Tioman.

Kerajaan sepatutnya memikirkan perkara ini. Pada saya, Pulau Tioman sebenarnya masih banyak ketinggalan jika dibandingkan dengan Pulau Langkawi, Redang, Perhentian dan banyak lagi.

Terfikir juga saya adalah apa yang berlaku ini kerana mahu menghukum penduduk Pulau Tioman atas dasar negeri Pahang gagal dirampas oleh kerajaan sedia ada?

Tepuk dada tanya selera.

PENDUDUK ASAL

Pulai Tioman