Malah, ada agensi yang dibubarkan, contohnya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Utusan Malaysia pada 5 Julai 2018 melaporkan ‘Kementerian Pengangkutan memutuskan program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) dihentikan serta-merta’.

Saya seorang penjawat awam. Sehubungan itu, saya ingin menarik perhatian kerajaan, penjawat awam dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada Janji 21 Pakatan Harapan dalam Buku Harapan: Membina Negara Memenuhi Harapan.

Janji 21 itu adalah untuk memperkasa perkhidmatan awam. Antara lain, menyatakan bahawa ‘kenaikan pangkat akan dilakukan berdasarkan prestasi perkhidmatan dan pengalaman’.

Semua proses ini akan dijadikan lebih telus agar warga perkhidmatan awam mempunyai peluang yang saksama untuk mendapatkan kenaikan pangkat dan gaji.

Sehingga kini, JPA belum memaklumkan tindakan yang telah dan akan diambil ke arah menunaikan Janji 21 tersebut. Kerajaan pula tidak memaklumkan sebarang perkembangan mengenai itu.

Pada masa ini, JPA masih meneruskan program penilaian yang diperkenalkan di bawah kerajaan terdahulu. Antaranya, program berdurasi lima hari untuk menentukan sama ada pegawai layak atau tidak diluluskan pemangkuan ke jawatan yang lebih tinggi.

Contoh program adalah A-LEAP, M-LEAP dan J-LEAP. Penilaian oleh panel yang dilantik oleh JPA dilihat lebih ‘power’ daripada perakuan oleh ketua jabatan atau penyelia seseorang pegawai.

Adakah penilaian berdurasi lima hari dapat menentukan tahap prestasi pegawai dan ia lebih baik daripada penilaian oleh ketua jabatan dan penyelia seseorang pegawai?

Adakah penilaian panel tersebut dapat menilai kebolehan pegawai memanfaatkan pengalaman dalam melaksanakan tugas?

Janji 21 adalah berdasarkan prestasi perkhidmatan dan pengalaman. Persoalannya, adakah program penilaian oleh JPA itu menepati Janji 21?

Program tersebut dicadangkan supaya ditangguhkan dan dinilai semula berkaitan aspek keberkesanan dan kewajarannya.

Sesuaikah satu program penilaian digunakan untuk menilai prestasi pegawai yang berkhidmat dalam pelbagai bidang tugas seperti penguatkuasaan, pentadbiran am dan tanah, pengurusan sumber manusia, perancangan dan pemantauan?

Program penilaian oleh JPA juga melibatkan kos seperti logistik, panel dan masa. Pegawai perlu tinggalkan pejabat dan meninggalkan kerja. Pegawai yang bertugas di luar negara (jauh dan dekat) juga mesti balik ke tanah air untuk menyertai program tersebut.

Mungkin perbelanjaan satu program penilaian tidak lebih tinggi daripada lawatan menteri ke luar negara tetapi kita sewajarnya bersama membantu kerajaan berbelanja dengan berhemah pada masa kedudukan kewangan kerajaan kurang memberangsangkan kini.

JPA disarankan supaya memaklumkan tindakan yang telah diambil untuk menunaikan Janji 21 tersebut. Kerajaan Pakatan Harapan pula tidak patut membiarkan JPA begitu sahaja. Jangan hanya pandai berjanji. Tindakan untuk menunaikan janji mesti dilakukan.

PENJAWAT AWAM