Majlis pewartaan MBIP telah diperkenankan oleh baginda Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 23 November 2017.

Sebagai pegawai awam dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berkhidmat di kawasan MBIP, kami ingin membuat pertanyaan kepada pihak yang bertanggungjawab tentang status elaun sara hidup (Cola) kami.

Kenapa sehingga kini kami tidak mendapat imbuhan Cola status bandar raya sebanyak RM300?

Apakah kami hanya layak dibayar kadar RM250 mengikut taraf MPJBT yang sudah tidak wujud?

Apabila ditanya kepada bahagian pengurusan, kami hanya diberitahu ada maklumat dari group WhatsApp Pegawai Eksekutif (EO) mengatakan kami tidak layak menerima tambahan elaun tersebut.

Apa yang pelik, sejak bila group WhatsApp EO diguna pakai sebagai arahan rasmi menggantikan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan pihak kementerian berwajib?

Tiada hitam putih yang menyatakan sebarang keraguan kelayakan untuk kami menerima kadar baharu Cola.

Kami merujuk kes ini susulan isu Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang (PBTPG) yang diwartakan menjadi Majlis Perbandaran Pasir Gudang berkuat kuasa mulai Julai 2008 dan semua pegawai awamnya serta-merta menikmati kenaikan Cola sebanyak RM250 berbanding RM150 sebelum itu.

Tiada sebarang isu yang timbul pula ketika itu. Kenapa bila pewartaan MBIP, kenaikan Cola seperti dibekukan?

Kami sebagai pegawai awam yang bergaji kecil amat mengharapkan kenaikan tersebut kerana walaupun hanya RM50, ianya banyak membantu mengurangkan beban hidup kami yang serba mahal di bandar raya ini.

Kami sangat berharap pihak yang bertanggungjawab meneliti perkara tersebut dan membela nasib pegawai awam di kawasan ini dan berlaku adil dalam melaksanakan tugas-tugas pentadbiran.

PEGAWAI AWAM RENDAH

Majlis Bandaraya Iskandar Puteri