Ke manakah hilangnya didikan sopan santun yang diberi? Pernah ada orang berkata, rakyat Malaysia akan berubah cara daripada manusia menjadi naga apabila memandu di jalan raya.

Kini rupa-rupanya, kita juga boleh berubah ‘warna’ apabila berkomunikasi dalam media sosial. Begitu menjengkelkan sekali. Mungkinkah kerana kecanggihan zaman itu sendiri memaksa kita berubah mengikut corak hidup lebih moden, dengan gaya bahasa dan cara kehidupan pergaulan masa kini sehingga kesantunan tidak lagi menjadi keutamaan.

Fenomena ini perlu dibendung segera. Sebagai warga Malaysia tidak mengira bangsa dan agama, kita sebenarnya sudah terdidik dengan kesopanan dan kesusilaan. Rukun Negara kita memang menitikberatkannya.

Tidak cukup dengan bersoal jawab dalam Facebook, Instagram dan Twitter dengan menggunakan bahasa sindiran pedas dan mengguris rasa, memaki hamun dan memalukan pihak satu lagi, kita juga kadang kala menggugat ketrampilan bahasa Melayu itu sendiri tanpa disedari.

Sebagai contoh, istilah ‘pape roger’ (apa-apa beritahu). Fenomena seperti ini secara tidak langsung dapat memberikan gambaran awal bahawa kita masih lagi belum cukup prihatin untuk bersantun dalam laman sosial.

Seperkara lagi, kita terlalu mudah untuk percaya dan terlalu senang untuk berkongsi cerita yang akhirnya menjadikan ia tular dalam media sosial. Ini juga sebenarnya menunjukkan ketidaksantunan kita. Belajarlah untuk menyemaknya terlebih dahulu dalam sebenarnya.my sebelum mempercayai sesuatu berita. Jika kita tidak pasti, janganlah dikongsi.

Ketaksuban untuk mengejar likes juga adalah satu lagi ciri-ciri ketidaksantunan kita. Sehinggakan ada sanggup berkongsi dan melaporkan perihal kehidupan sendiri dalam media sosial yang kadang kalanya sampai mengaibkan diri sendiri.

Ketaksuban mengejar likes ini juga dapat dilihat sebagai salah satu punca lain yang mendorong kita untuk menjadi keyboard warriors.

Kita secara tidak rasmi menjadi hero di alam maya dengan kutukan dan kritikan pedas menggila. Sedangkan ada kemungkinan di alam nyata, perwatakan kita adalah amat jauh berbeza daripada apa yang orang baca.

Oleh yang demikian, berpadalah dalam bercerita, bersantunlah dalam bersuara kerana dengan keprihatinan kita untuk menjadi warga maya berbudi bahasa, mungkin orang lain akan turut sama mendapat natijahnya.

SYED MAZLAN 
SYED MAT DOM
Pensyarah Kanan 
Fakulti Pengajian Perniagaan Universiti Teknologi 
Mara (UiTM) Melaka