Abdul Naser Tun Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Xifu Naser dan seorang pelajarnya (atau bekas pelajar), Huda Ramli saling bertukar hamburan ‘lemboo’ susulan demonstrasi beberapa pelajar berkaitan lantikan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik sebagai Presiden UIAM.

Xifu Naser didakwa rakan akrab kepada Maszlee sementara Huda pula pernah belajar ilmu pemikiran kritikal daripada kedua-dua ahli akademik itu sebelum ini.

Sekalipun tidak bersetuju dengan tindakan pelajar berdemonstrasi, pensyarah tidak sepatutnya membuat komen terbuka walaupun mahu mempertahankan rakan karib sendiri.

Bukan sahaja tindakan itu tidak matang malah berbaur kronisme tahap tertinggi apatah lagi boleh membawa kepada konflik kepentingan peribadi memandangkan seorang menjadi Presiden sementara rakannya seorang pensyarah di universiti sama.

Begitu juga pelajar tidak sepatutnya menghina pendidik, sama ada secara tertutup mahupun terbuka kerana hilang berkat ilmu yang diturunkan sebelum ini. Sekurang-kurangnya hormat sebagai orang tua dan ambil tindakan mengikut saluran betul jika tidak berpuas hati.

Akhirnya, kedua-dua individu ini bukan sahaja memalukan kakitangan malah graduan dan pelajar UIAM. Adakah ini contoh yang mahu ditonjolkan kepada generasi muda?

Saya harap Dr. Maszlee menegur pensyarah dan pelajar terbabit supaya menjaga tutur bahasa dan perbuatan supaya tidak memalukan UIAM. Ada tempat, masa dan caranya untuk menyuarakan pandangan, jangan ‘laser’ sangat tidak padan dengan usia.

GRADUAN PENDIDIKAN

UIAM Gombak