Apa sebenarnya definisi media dan agenda Malaysiakini. Portal ini dari hari ke hari kian terdesak untuk membantai kerajaan. Maklumlah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) mengikut firasat mereka semakin hampir.

Pengaruh DAP amat ketara di dalamnya, dengan itu ‘penyaringan’ berita di Malaysiakini begitu ketat. Jika 10 komen yang kononnya ‘komen pilihan pembaca’ yang didalanginya sendiri mengulas tentang kerajaan dan Perdana Menteri, sembilan yang membantai dilepaskan atau dimuat naik.

Putar belit atau spin bagi portal propembangkang ini bukanlah asing dalam laporan mereka. Julai lalu, portal ini menimbulkan kemarahan netizen atau pengguna internet apabila dilihat dengan sengaja memutar belit program tinjauan Transit Aliran Massa (MRT) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Netizen melahirkan rasa kecewa melalui media sosial, bahkan mendakwa apa yang dilaporkan Malaysiakini kononnya para penumpang ‘dipaksa’ berpindah ke tempat duduk belakang untuk memberi laluan kepada rombongan Perdana Menteri tidak benar sama sekali.

William Cheah yang turut menyertai Perdana Menteri ketika sesi meninjau dan mencuba fasa kedua Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK) pada waktu itu mempersoalkan bagaimana insiden itu boleh berlaku sedangkan program itu telah disusun dengan rapi tanpa sebarang masalah.

“Kami di belakang tetapi tidak mengapa, satu pemandangan yang jelas tentang perjalanan program, selesa. Tiada seorang pun daripada kami dihalau keluar daripada bas. Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor ‘tuan rumah’ yang baik hati.

“Apabila saya hampir terjatuh ketika hendak ke kerusi, Najib terus membantu memegang saya dan bertanya jika saya okey. Beliau bergaul mesra dengan semua orang dan turut memainkan lagu Ed Sheeran menerusi aplikasi Spotify bagi menghiburkan kami,” katanya menerusi akaun Facebooknya.

Kuan Chee Heng pula menjelaskan laporan Malaysiakini sebagai satu pembohongan.

“Malaysiakini. Maaf. Saya ada di dalam bas dan dijemput untuk melihat MRT yang baharu.

“Kamu salah. Dalam artikel kamu, Perdana Menteri dan isterinya telah memaksa lain penumpang untuk duduk ke belakang kerusi bas adalah palsu. Bas ini adalah khas membawa Perdana Menteri, isteri beliau, anak serta lain-lain media.

“Jadi soal Perdana Menteri memaksa penumpang ke belakang adalah satu pembohongan atau mungkin Malaysiakini kena kelentong atau ‘chong’ oleh orang ramai. Laporkanlah berita yang benar Malaysiakini,” katanya.

Asyik menghentam, sinikal dan berita diolah dalam bentuk memperlekehkan kerajaan adalah track record Malaysiakini.

Adakah Malaysiakini mahu berfungsi sebagai ejen pembangkang yang cuba mengubah asas kenegaraan?

Suatu ketika kita, rakyat Malaysia didedahkan dengan sajian berita daripada portal ini yang bertajuk Pengundi baru: Pagi ini PR, petang warganegara. Ia kisah seorang yang bernama Mismah yang dikatakan diberikan taraf warganegara dalam masa empat jam. Namun, ternyata apa yang dibongkarkan oleh wartawan Malaysiakini adalah pembohongan besar.

Rekod Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan dia telah mendapat taraf Penduduk Tetap pada 17 Julai 1982. Mismah diluluskan Taraf Kewarganegaraan Malaysia pada 31 Januari 2011 di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan selepas 29 tahun memegang taraf Penduduk Tetap Malaysia.

Dikhuatiri jika kerakusan Malaysiakini tidak dibendung, portal ini akan mempergunakan sesiapa sahaja untuk menjatuhkan institusi-institusi Islam pula. Ini termasuklah ‘menghambat’ Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan pihak berkuasa lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

MELUAT

Petaling Jaya