Sememangnya tahun ini banyak membawa berita gembira kepada peminat sukan di Malaysia yang menyaksikan semakin banyak acara bertaraf dunia bakal dianjurkan. Berbanding dahulu, hanya beberapa acara sukan mendapat tempat untuk diadakan tetapi keadaan itu mulai berubah.

Penganjuran Sukan Komanwel 1998 telah memberi petanda awal bahawa Malaysia berpotensi menjadi tumpuan dalam penganjuran sukan antarabangsa. Beberapa kejohanan antarabangsa telah dirancang dan diadakan oleh pelbagai pihak terutama kerajaan bagi memenuhi hasrat negara menjadikan Malaysia sebagai hab sukan di rantau ini.

Misalnya kemampuan menganjurkan Temasya Sukan SEA pada 1977, 1989, 2001 dan 2017, Hoki Piala Dunia (2002), Kejohanan Tahunan Malaysia Grand Prix Formula One (F1) serta Moto GP dan sebagainya mengukuhkan lagi bukti bahawa Malaysia mempunyai kepakaran menganjurkan temasya sukan peringkat antarabangsa.

Bukan itu sahaja, Malaysia juga berdepan saingan menjadi hab sukan di rantau ini apabila Singapura turut berkempen memasarkan negara itu sebagai hab industri sukan antarabangsa dengan menawarkan pakej perkhidmatan menarik kepada syarikat multinasional sukan dunia, selain menawarkan diri menjadi tuan rumah beberapa temasya sukan dunia seperti Singapore Grand Prix F1 waktu malam, Sukan Remaja Olimpik dan sebagainya.

Sementara itu, penganjuran Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dilihat merancakkan lagi perkembangan sukan dalam kalendar negara tahun ini. Malah, Stadium Nasional Bukit Jalil turut diberi nafas baharu dalam usaha menjadikannya sebagai hab sukan negara yang dikenali Kuala Lumpur Sport City 2021.

Pembinaan Velodrom Nasional bertaraf dunia di Nilai, Negeri Sembilan juga mampu dimanfaatkan secara maksimum dalam pembangunan sukan trek berbasikal untuk melahirkan lebih ramai jagoan sukan seperti Azizulhasni Awang.

Selain itu pengumuman dibuat Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohammad Hasan yang akan mewartakan Nilai sebagai pusat latihan bagi sukan memanah, tinju dan sepak takraw di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN).

Beberapa kejayaan yang diraih mencakupi pencapaian dan kecekapan penganjuran sukan telah meletakkan Malaysia pada kedudukan tertinggi berbanding negara-negara Asia lain. Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), David Grevemberg juga pernah menyatakan rasa kagumnya terhadap kemudahan sukan negara sekali gus membayangkan persaingan sengit untuk Malaysia, Kanada, England dan Australia membida hak penganjuran temasya 2022 atau 2026.

Begitupun sumber kewangan dikatakan menjadi kekangan. Namun Tokoh Sukan Negara 2015, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yakin perkara itu dapat diatasi jika infrastruktur sedia ada digunakan bagi mengurangkan perbelanjaan sebelum membida kejohanan itu bersama Singapura.

Sementara itu, konsep Sukan Untuk Semua yang diilhamkan daripada Malaysia Cergas dilaksanakan sebagai usaha menarik minat pelbagai lapisan masyarakat mengambil bahagian dalam kegiatan sukan, rekreasi dan kecergasan.

Langkah itu secara tidak langsung dapat merangsang lebih banyak penyertaan masyarakat dalam sukan bagi membentuk satu imej sukan berskala nasional yang akan menjadikan Malaysia sebagai satu negara peserta bukannya penonton.

Penulis percaya seandainya sikap profesionalisme terus menjadi amalan dalam setiap penganjuran sukan berkemungkinan dapat merealisasikan hasrat Malaysia untuk menikmati temasya yang lebih besar seperti kejohanan bola sepak Piala Dunia dan Sukan Olimpik pada masa akan datang.

Pemimpin badan sukan juga harus menjadikan kejayaan seperti itu sebagai pendorong untuk memaju dan meningkatkan prestasi sukan itu sendiri kerana andai kedua-duanya dapat dibangunkan serentak, Malaysia akan terus dihormati di peringkat antarabangsa.

MUHAMMAD SHAHRUL NAIM MOHD. TOKIMAN

Universiti Sains Islam Malaysia