Laporan itu memaparkan komen penganjur konsert melibatkan artis berpakaian seksi dan program-program bersifat liberal seperti pesta arak yang dibantah umat Islam di negara ini.

Sambil memetik satu laporan yang didakwa daripada pakar hak kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Malaysia digambarkan terlalu tegas dalam ‘terjemahan Islam dan identiti negara sehingga mengabaikan golongan minoriti’.

Semua ini bukan sahaja merujuk kepada ‘hak’ menganjurkan ‘pesta mabuk’ malah melibatkan aktiviti tidak senonoh seperti pergaulan bebas, pengambilan dadah secara kasual mahupun gaya hidup songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) secara terbuka.

‘Serangan’ bertalu-talu ini bertujuan melonggarkan pegangan keagamaan dalam kehidupan rakyat khususnya golongan muda, bermula dengan tuntutan untuk anak muda bukan Islam menganjurkan aktiviti tidak sihat secara terbuka.

Jika diluluskan, ‘pesta maksiat’ itu secara semula jadi akan menarik muda-mudi Islam menyertainya dan sebarang sekatan akan dilabel sebagai menindas hak asasi.

Benarkah Malaysia dicengkam golongan ‘pelampau’? Saya lihat kedai judi empat digit masih dibuka malah ada yang pakai baju Melayu membeli tiket tanpa sebarang halangan pemilik premis.

Arak masih dijual secara terbuka di kedai-kedai runcit termasuk di kawasan majoriti Islam seperti di Shah Alam malah ‘rumah urut’ juga semakin banyak. Ini belum mengambil kira pusat judi, arak dan pelacuran haram.

Namun, perniagaan untuk orang Islam sahaja mahu ditutup kerana ‘rasis’ sementara konsep usahawan bumiputera seperti Mara Digital diboikot.

Kalau sukar untuk golongan ini berfikir antara baik dan buruk, sekurang-kurangnya guna akal untuk menilai sama ada apa yang mereka mahu anjurkan itu boleh disertai kanak-kanak.

Adakah anak kecil mereka bebas minum arak, bebas menonton persembahan konsert lucah, bebas melakukan hubungan seks rambang ataupun bebas hisap dadah mahupun merokok?

Mereka ini jugalah yang menuduh Islam menggalakkan perkahwinan bawah umur berbanding anak mereka yang boleh amalkan seks bebas malahan Islam kononnya terlalu mengongkong makanan dan minuman sedangkan anak mereka juga memandu ketika mabuk sehingga melanggar orang.

Ini bukan berkaitan satu-satu kaum atau kumpulan agama, ini berkaitan individu-individu yang menuntut perkara tidak munasabah dalam sebuah komuniti majmuk dengan laungan hak asasi tanpa mempedulikan hak orang lain sedangkan bangsa dan agama mereka sendiri membantah.

Adakah satu agama atau mana-mana budaya timur yang menggalakkan kita mabuk, amalkan seks bebas, mengambil dadah mahupun bergelumang dengan maksiat ‘asalkan hidup bahagia’?

Sebenarnya banyak perkara maksiat dibiarkan berjalan secara tertutup atas konsep ‘hak asasi’ di negara ini tetapi jika sudah berani menuntut penganjuran terbuka pesta arak, pesta seks, pesta dadah mahupun konsert lucah, tidak pelik jika fahaman pelampau boleh meresap di Malaysia.

Cause and effect, setiap perbuatan ada tindak balas. Kebiasaannya tindak balas itu ‘setimpal’ dengan perbuatan punca tercetusnya masalah tersebut.

Saya berharap Malaysia tidak menjadi sarang pelampau agama, bangsa atau mana-mana fahaman keagungan warna kulit tetapi jika benar pelampau mula bertapak di negara ini, ia memang ‘tindak balas’ terhadap perbuatan melampau puak ‘gila maksiat’ itu sendiri.

Jangan ‘baling batu, sembunyi tangan’. Mereka yang menuntut ‘keterbukaan’ terhadap aktiviti tidak bermoral itulah punca utama sekiranya fahaman pelampau mula mencengkam Malaysia.

BAPA PRIHATIN

Shah Alam, Selangor