Dunia kini telah berubah, banyak kerajaan di negara lain memberi fokus membangunkan teknologi berkaitan dengan pengangkutan awam dan bukannya memajukan pembinaan kenderaan peribadi seperti kereta, motosikal dan lain-lain.

Dengan peningkatan jumlah manusia di setiap negara, pengangkutan awam akan menjadi salah satu bentuk pengangkutan utama untuk rakyat di masa akan datang.

Pembangunan pengangkutan awam juga penting bagi mengurangkan segala jenis masalah yang dikaitkan dengan penggunaan kenderaan peribadi seperti masalah kesesakan lalu lintas, mengurangkan statistik kemalangan jalan raya, masalah hutang pembelian kenderaan, masalah pencemaran alam sekitar dan lain-lain lagi.

Penggunaan pengangkutan awam juga dilihat penting bagi mengurangkan tahap kebergantungan negara kita terhadap petroleum. Penggunaan pengangkutan awam juga akan menjadi lebih penting kelak apabila kuantiti minyak mentah yang menjadi nadi utama kenderaan peribadi semakin berkurangan.

Dari aspek ekonomi pula, pengangkutan awam akan menawarkan perkhidmatan lebih berpatutan berbanding kenderaan peribadi yang melibatkan pelbagai kos terhadap penggunanya seperti kos minyak, kos penyelenggaraan, insurans dan lain-lain lagi.

Dengan kemunculan teknologi baru dalam dunia pengangkutan awam yang sedang giat dibangunkan oleh negara-negara maju termasuk negara membangun seperti China, India dan Indonesia, pasti kemudahan pengangkutan awam bakal menjadi kaedah lebih efisien, cepat serta menjimatkan untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat.

Oleh yang demikian, adalah penting untuk semua pihak tidak terlalu memberi keutamaan kepada mewujudkan lebih banyak kenderaan peribadi dan mengalih perhatian kepada pembangunan pengangkutan awam dalam negara kita.

Agak sedih melihat pembangunan pengangkutan awam negara kita yang jauh ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain seperti Korea Selatan, China dan Jepun yang sudah jauh maju ke hadapan dalam perkara ini.

Negara kita sepatutnya sudah pun memiliki perkhidmatan awam setanding dengan negara-negara berkenaan malah sepatutnya lebih maju lagi berbanding dengan negara-negara lain.

Oleh yang demikian, adalah penting satu dasar komprehensif dirangka kerajaan Pakatan Harapan untuk terus membangunkan sistem pengangkutan awam dalam negara kita supaya kita tidak ketinggalan jauh berbanding negara lain.

PENGGUNA PENGANGKUTAN AWAM