Syabas diucapkan kepada Majlis Perbandaran Seremban. Usaha mencantikkan bandar Seremban itu haruslah diteruskan, tambahan pula kedudukannya kira-kira 40 kilometer sahaja dari KLIA. Kalau negeri Melaka yang jaraknya lebih 100 kilometer daripada KLIA boleh berjaya, kenapa tidak Negeri Sembilan?

Gerai-gerai beraneka makanan tradisi yang lazat banyak di bandar Seremban yang sudah tentu boleh menarik kedatangan pelancong bukan sahaja dari luar negara malah pelancong tempatan.

Namun, Seremban masih banyak kekurangan. Contohnya, Muzium Negeri tidak banyak menyimpan bahan sejarah atau barang-barang menarik untuk dipamerkan. Di Seremban tiada zoo, tiada aquarium, tiada taman burung dan kalau ada pun hanya ladang burung unta sahaja.

Begitu juga apabila berkunjung ke tempat berkelah di Port Dickson yang kini didapati air lautnya agak tercemar dengan saluran buangan sisa-sisa kotoran.

Ini semua diperhatikan oleh pelancong asing yang mengutamakan kebersihan dan keselesaan. Ditambah pula dengan sampah-sarap yang tidak diuruskan dengan betul serta banyaknya lalat.

Tandas yang kotor telah menjauhkan pelancong asing daripada mengunjungi pantai Port Dickson yang suatu ketika dahulu amat popular. Oleh itu, Port Dickson perlu dijenamakan semula.

Begitu juga bandar Seremban, diharap pihak berkenaan dapat melakukan sesuatu untuk memajukan Negeri Sembilan sebagai sebuah negeri tarikan pelancong kerana sumber pendapatan yang lumayan pasti menyusul.

Tukarkan wajah bandar Seremban menjadi sebuah bandar impian yang menarik dan jika perlu dapatkan nasihat pakar bagaimana untuk memajukan Negeri Sembilan menjadi sebuah negeri industri pelancongan.

Dalam masa sama, semua bangunan yang terbengkalai di bandar ini hendaklah dibersihkan daripada pandangan umum termasuk pusat boling di Pusat Rekreasi Sukan Paroi yang terbengkalai.

Begitu juga tasik yang terletak di pusat bandar yang suatu ketika dahulu mahu didirikan bangunan bertingkat tetapi kini terbengkalai.

Kini terserahlah kepada kebijaksanaan pihak berkenaan untuk memajukan Seremban dan juga keseluruhan Negeri Sembilan.

SYED ABDULLAH OSMAN

AMPANGAN SEREMBAN