Ini penting bagi melindungi keselamatan dan kesihatan pelajar serta pekerja di sekolah.

Selain sekolah semua pihak yang berada di kawasan berhampiran dengan kawasan terjejas juga perlu mengambil segala langkah bagi melindungi keselamatan dan kesihatan diri termasuk pekerja.

Pekerja yang bekerja berhampiran dengan kawasan terjejas perlu mengambil langkah sama bagi melindungi keselamatan dan kesihatan diri mereka.

Adalah menjadi tanggungjawab pihak majikan untuk memastikan pekerja mereka tidak terdedah dengan sebarang risiko yang boleh mengganggu tahap keselamatan dan kesihatan diri pekerja mereka.

Pihak majikan perlu memastikan keadaan persekitaran atau kualiti udara yang berada di tempat kerja berada dalam keadaan selamat untuk pekerja bekerja.

Sekiranya keadaan persekitaran atau kualiti udara di tempat kerja didapati tidak selamat, maka pihak majikan perlu mengambil sebarang langkah sewajarnya bagi melindungi pekerja.

Antaranya dengan memberi cuti khas, penangguhan kerja buat sementara waktu atau pemindahan tempat kerja ke tempat yang lebih selamat.

Antara aspek yang boleh mempengaruhi kualiti udara dalam sesebuah tempat kerja adalah suhu, kelembapan relatif, kulat, bakteria, pengudaraan yang tidak baik atau sempurna, dan pendedahan kepada bahan kimia.

Kualiti udara yang tidak baik akan menyumbang kepada ketidakselesaan pekerja, memberi kesan negatif kepada kesihatan pekerja, ketidakhadiran kerja serta menjejaskan produktiviti organisasi yang terlibat.

Isu yang melibatkan aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak terutamanya pihak majikan yang merupakan ketua di sesebuah di tempat kerja.

Ia hendaklah diberikan perhatian sewajarnya dan dipandang dengan serius bagi mengelak perkara yang tidak diundang daripada berlaku dalam kalangan pekerja.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Kuala Lumpur