Ramai juga golongan muda yang terkandas dalam pelajaran memilih untuk bekerja di sektor itu. Bagi pelajar IPT pula mengambil peluang bekerja separuh masa atau sewaktu cuti semester untuk mendapatkan wang saku dan pengalaman. Malah pendedahan bekerja sedikit sebanyak membantu mereka mengasah kemahiran berkomunikasi.

Namun peluang sedemikian dilihat terjejas kerana majikan dilihat masih terus menggaji pekerja asing. Pernah beberapa kali saya ternampak warga asing bekerja di bahagian dapur dan pembersihan di restoran makanan segera terkenal di ibu kota.

Sementara itu, di sesetengah premis restoran dan kopitiam di sekitar Lembah Klang juga memperlihatkan pekerja asing tidak semata-mata bekerja di dapur tetapi di bahagian penyeliaan, kaunter dan mengambil pesanan.

Malah sejumlah besar pekerja asing bukan sahaja dilihat bekerja di restoran-restoran makanan barat, Arab, Jepun dan Korea, bahkan di restoran yang menyajikan makanan tradisional tempatan serta medan-medan selera di pusat beli-belah.

Hal itu berlaku mungkin kerana pihak majikan masih boleh mendapatkan pekerja dalam jumlah ramai daripada pihak pembekal tenaga kerja asing. Selain majikan tidak perlu lagi mengiklankan jawatan kosong, mereka juga tak perlu risau kemungkinan pekerja berhenti mengejut.

Perkara tersebut jika dibiarkan akan menutup terus peluang rakyat tempatan kerana pekerja asing kembali menguasai sektor itu. Jika dasar yang melarang pengambilan pekerja asing bekerja di restoran makanan segera masih berkuat kuasa, saya berharap pihak berkenaan dapat melakukan pemantauan bagi memastikan larangan itu dipatuhi.

Pihak kerajaan perlu memandang serius perkara ini agar rakyat tempatan terutama golongan belia tidak tersekat daripada mencari rezeki di tanah air sendiri.

M. FAISAL

Kuala Lumpur