Kejadian terbaharu itu mengorbankan seorang pekerja kontrak dari Vietnam, lima pekerja lain cedera manakala seorang terperangkap selepas jejantas pejalan kaki, KL Eco City - Mid Valley, yang masih dalam pembinaan, runtuh di tapak projek dekat Kampung Haji Abdullah Hukum, Bangsar, Kuala Lumpur.

Itu bukan kejadian pertama. Berdasarkan laporan Bernama, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib dipetik berkata, sebanyak 402 pekerja di sektor pembinaan maut dalam kemalangan di tempat pembinaan antara 2011 hingga Oktober tahun ini.

Malah, untuk 10 bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 55 pekerja maut dan 95 cedera, manakala enam kes kematian melibatkan bukan pekerja dilapor dan disiasat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

Merujuk isu itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berpendapat, tragedi dapat dielakkan jika semua pihak berkaitan dalam industri pembinaan termasuk majlis perbandaran tempatan, pemaju, kontraktor, arkitek, juru ukur bahan, jurutera struktur, DOSH dan semua pihak lain memainkan peranan masing-masing dengan berkesan.

Apabila insiden seumpamanya terus berlaku, jelas bahawa pihak berkenaan tidak mampu menangani isu tersebut biarpun banyak gesaan dibuat CAP agar kerajaan menjalankan siasatan lengkap ke atas operasi DOSH. Pihak terbabit khususnya DOSH dan pemaju nampaknya tidak memberi keutamaan kepada perkara sepatutnya.

CAP tidak nampak usaha serius dilakukan untuk mencegah insiden seumpama itu daripada terus berlaku, sebaliknya mereka terbabit dilihat hanya bergelut untuk mengambil langkah-langkah bagi memperbetulkan keadaan setelah kemalangan berlaku!

Kita selalu ‘disogokkan’ dengan ‘alasan’ punca kejadian akan atau masih disiasat, sedangkan logik akal pun kita boleh tahu sebahagian besar insiden berpunca daripada kecuaian pihak terbabit dalam projek.

Berbalik kepada insiden baru-baru ini, seorang profesor dari Universiti Sains Malaysia dilaporkan mendakwa insiden itu berlaku apabila kontraktor tidak mematuhi piawaian keselamatan, dan ini termasuk memastikan kestabilan konkrit serta kontraktor tidak menggunakan bahan perancah sesuai ketika proses pembinaan.

Sementara itu Ketua Pengarah DOSH, Datuk Ir. Mohtar Musri pula berkata, siasatan awal mendapati insiden berlaku kerana struktur berkenaan rosak, dan pihaknya perlu meneliti kualiti bahan-bahan digunakan dalam pembinaan jejambat pejalan kaki itu.

Persoalannya, bukankah pegawai-pegawai DOSH dan pemeriksaan keselamatan di tapak pembinaan sepatutnya tahu jika terdapat mana-mana bahagian struktur yang rosak? Hal ini sahaja telah menimbulkan kemusykilan sama ada pemeriksaan keselamatan yang teliti telah dijalankan di peringkat-peringkat tertentu oleh pihak berkenaan.

CAP berharap, sebarang maklumat berkaitan hasil siasatan kes itu perlu didedahkan secara telus. Bukan itu sahaja, CAP juga ingin tahu apa yang berlaku kepada hasil siasatan bagi kejadian-kejadian sebelumnya. Kenapa maklumat penting itu tidak dikongsikan sedangkan nyawa orang awam juga berada dalam bahaya ekoran kecuaian pihak di tapak pembinaan?

S.M. MOHAMED IDRIS

Presiden CAP