Pada 4 April lalu berlangsung persidangan Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 (MAPPA XVI) dan banyak perkhabaran gembira disampaikan oleh Najib, tetapi malangnya tiada disentuh sedikit pun berkenaan kontrak CFS, begitu juga semasa pembentangan Bajet 2018 pada Oktober tahun lepas.

Kesemua yang diumumkan hanyalah bagi penjawat awam tetap dan juga bagi kontrak COS manakala kontrak CFS seperti kami terus dipinggirkan tanpa diberi apa-apa kemudahan.

Sebagai pekerja CFS yang telah menandatangani dokumen perjanjian, kami mengambil maklum Perkara 11 dalam perjanjian bahawa kami bukanlah penjawat awam dan kami tidak layak menggunakan status CFS bagi tujuan pelantikan ke jawatan tetap.

Untuk makluman Datuk Seri, pada Februari 2017, pihak Jabatan Kerja Raya Putrajaya telah melantik seramai 50 pekerja CFS mereka ke skim COS setelah lapan tahun berkhidmat di agensi tersebut.

Disebabkan itu kami berpandangan sekiranya jabatan tersebut boleh melakukan perubahan skim tersebut maka adalah lebih baik bagi pihak kerajaan menyelaras semua kontrak yang berkaitan di seluruh negara.

Selain itu, merujuk kes Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) batch 2012 yang mana mereka juga mendapat arahan kontrak diserap ke perjawatan tetap walaupun kesemuanya tidak melepasi peperiksaan PTD oleh SPA dan satu sesi temuduga khas dilakukan kepada mereka terbabit atas pertimbangan khas.

Melalui arahan Pembekuan Pengambilan/Pengisian Jawatan Pada 2011, rata-rata pekerja CFS telah diarah/diberikan tugasan mengisi kekosongan jawatan yang ada sebagai contoh bagi Gred N41, kami melakukan tugasan sama rata seperti PTD yang tetap, malahan pembahagian tugasan kami juga sama dengan PTD bergred M44, selain kadang kala ditugaskan untuk mewakili bahagian ke agensi luar walhal ini bertentangan dengan apa yang terdapat di dalam dokumen perjanjian kami.

Walaupun tugasan diberikan setara dengan pekerja Tetap/COS, tetapi gaji diterima jelas tidak setimpal dengan kerja dilakukan.

Sehubungan itu, kami berharap agar PRU-14 ini akan membawa perkhabaran gembira. Sekiranya kami tidak dapat diserapkan ke jawatan tetap, kami berbesar hati sekiranya skim CFS itu ditukar ke COS supaya kami turut merasa kemudahan-kemudahan seperti penjawat awam lain.

Sehubungan itu, kami memohon agar cadangan ini dapat dipertimbangkan dan kami akan terus setia menyumbang tenaga bakti kami dalam meneraju perkhidmatan awam ini.

WAKIL PEKERJA CFS
Jabatan Perkhidmatan Awam
Wilayah Persekutuan, Putrajaya