Langkah itu harus dibuat kerana setiap hari ibu bapa dari Pangsapuri Selayang Heights yang menghantar anak-anak ke Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Selayang terpaksa ‘bertarung nyawa’ untuk menyeberangi simpang yang tidak mempunyai lampu isyarat.

Ini kerana kenderaan dari bulatan Bandar Baru Selayang menghala ke Masjid Al-Firdaus dipandu sangat laju walaupun terdapat garisan merah sebagai peringatan kepada pemandu supaya memperlahankan kenderaan.

Situasi berkenaan boleh mengundang kemalangan terutama pada awal pagi kerana ada kenderaan yang tidak memasang lampu sehingga sukar untuk dilihat.

Laluan berkenaan juga berbukit sehingga menyukarkan kenderaan untuk dilihat dari jauh.

Dalam pada itu, saya mengucapkan terima kasih kepada MPS kerana telah menaik taraf jalan raya di Bandar Baru Selayang ekoran terdapat projek kondominium yang telah siap.

Pembinaan kondominium menyebabkan jumlah penduduk di situ semakin bertambah dan boleh menjejaskan imej Selayang sebagai antara kawasan yang masih mengekalkan aspek kehijauan.

Saya berharap MPS meletakkan syarat, pemaju projek kondominium hendaklah menggantikan kawasan hijau yang telah ditebang.

Mereka boleh menanam pokok di atas bumbung atau pada dinding bangunan seperti yang telah lama dilaksanakan di Singapura.

JALAK LENTENG

Selayang, Selangor