Saya perhatikan proses perundangan melibatkan ahli politik kini sering dilengahkan dengan bermacam ‘prosedur’ khususnya penangguhan dan proses rayuan.

Melihatkan semakin ramai ahli politik terlibat dengan masalah perundangan khususnya kes rasuah, fitnah dan menghalang tugas penjawat awam, mahkamah khas ini dapat mempercepatkan prosiding kes yang kini mengambil masa bertahun-tahun lamanya.

Sekalipun didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman yang menyebabkan mereka hilang kelayakan sebagai wakil rakyat, pesalah tetap bijak menggunakan pelbagai taktik mencari lopong dalam penghakiman tersebut.

Rakyat sudah bosan melihat wakil rakyat dan ahli politik yang melakukan kesalahan terlepas begitu sahaja sedangkan jelas sikap mereka langsung tidak menggambarkan seorang pemimpin untuk peringkat negeri mahupun negara.

Selain itu, saya harap hukuman minimum untuk dilucutkan kelayakan menjadi wakil rakyat diturunkan daripada satu tahun atau denda RM2,000 kepada enam bulan dan RM1,000 supaya 222 Ahli Parlimen dan 576 Ahli Dewan Undangan Negeri lebih berhati-hati dengan perbuatan dan percakapan mereka.

ANAK MUDA

Pandan Prima, Kuala Lumpur