Mangsa dipercayai telah diikat, dipukul dan dilecurkan dengan seterika panas oleh sekumpulan rakan seperjuangan sebelum menemui ajal pada 1 Jun lepas. Sebuah kisah yang tidak sepatutnya terjadi dalam kamus kehidupan moden kerana kita bukan lagi berada pada zaman jahiliyah!

Agak mengejutkan kejadian buli itu berlaku dalam kalangan mahasiswa yang dianggap sudah matang berbanding pelajar sekolah. Pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan diri mereka. Dewasa tetapi tidak lengkap dari sudut akhlak dan pegangan agama.

Islam telah menekankan amalan pertama yang akan dihisab di akhirat ialah solat. Solat yang sepatutnya diajar kepada anak-anak sedari usia mereka tujuh tahun. Namun sedih untuk menyatakan hakikat bahawa ada kalangan mahasiswa tidak menunaikan solat seperti dituntut agama. Bahkan ramai juga yang tidak mahir membaca surah al-Fatihah!

Surah al-Fatihah bukanlah sekadar untuk dihafal dan dilantunkan tetapi perlu difahami hingga menusuk ke dalam sanubari. Tujuh ayat surah Al-Fatihah jelas menunjukkan betapa lemahnya kita sebagai manusia yang sangat memerlukan pertolongan dan bantuan daripada Sang Pencipta.

Kita merintih memohon jalan yang lurus serta diberi petunjuk dan hidayah-Nya. Bukannya memohon bantuan selain daripada Dia seperti yang telah terjadi kepada pelajar yang meminta bantuan daripada bomoh dalam membantu menyelesaikan masalah mereka.

Anak-anak adalah anugerah dan tanggungjawab utama ibu bapa untuk memainkan peranan masing-masing dalam membajai permata hati mereka dengan didikan agama sejak awal. Justeru didikan diberi harus seimbang dari segi duniawi dan ukhrawi.

NUR ISMALINA HARIS

Pensyarah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Pauh Putra, Perlis