Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2016 yang dianjurkan dari 1 hingga 11 Disember lalu menjadi antara acara untuk saya dan keluarga merasai sedikit daripada nikmat kehidupan kampung melalui industri pertanian dan perladangan.

Saya dan isteri telah mengambil cuti supaya kami sekeluarga dapat menghabiskan beberapa hari di Taman Pameran Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS) dengan menyertai pelbagai acara dianjurkan sempena MAHA 2016.

Ini adalah kali ketiga kami mengunjungi MAHA tetapi kali pertama saya dan isteri mengambil cuti panjang supaya anak-anak dapat meluangkan lebih banyak masa melihat, menyentuh dan mengenali tumbuhan dan ternakan yang dapat dilihat di tapak pameran tersebut.

Jika boleh, saya harap pihak penganjur mahupun kementerian terbabit dapat menjadikan MAHA acara tahunan khususnya untuk anak-anak kota seperti saya dan anak-anak saya mendekati kehidupan kampung melalui industri pertanian, hortikultur dan agropelancongan negara.

Dua daripada anak-anak saya juga sudah menanam azam untuk menjadi petani moden, seorang mahu menternak ikan secara komersial sementara seorang lagi ingin membuka pusat pelancongan dusun buah-buahan.

Terima kasih sekali lagi atas penganjuran MAHA setiap dua tahun. Semoga acara ini dapat dikembangkan lagi dan dimajukan ke tahap lebih tinggi kelak.

ANAK KOTA

Segambut, Kuala Lumpur