Kawasan itu yang diwujudkan dengan kerjasama syarikat animasi, Les’ Copaque Production Sdn. Bhd. telah memberi peluang kepada kanak-kanak untuk terlibat dengan pelbagai aktiviti bertemakan pertanian dan alam sekitar.

Semasa melawat kawasan berkenaan, kanak-kanak akan diberikan sebuah pasu kecil yang terdapat pelekat watak kartun, Upin dan Ipin.

Mereka kemudiannya diajar cara-cara menanam benih jagung dan kacang hijau di dalam pasu berkenaan.

Memang kanak-kanak cukup seronok dan leka bermain dengan timbunan tanah untuk dimasukkan ke dalam pasu. Tambahan pula dengan ditemani Upin dan Ipin dalam bentuk hologram.

Langkah memperkenalkan bidang pertanian kepada kanak-kanak adalah tepat sekali kerana terdapat sebahagian daripada mereka yang tinggal di bandar. Aktiviti pertanian sudah tentu cukup asing buat mereka.

Sehubungan itu, saya berharap kawasan Kampung Durian Runtuh diperbesarkan dan dijadikan lokasi kekal di Taman Pameran Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor, yang boleh dikunjungi kanak-kanak pada bila-bila masa dan bukannya ketika MAHA sahaja.

Pelbagai aktiviti boleh diadakan di kampung berkenaan bagi membolehkan kanak-kanak melihat lebih dekat bermacam-macam kegiatan pertanian.

Selain pertanian, kanak-kanak juga boleh didedahkan dengan aktiviti penternakan. Sudah lumrah kanak-kanak menyukai haiwan.

Aktiviti sedemikian boleh menarik lebih ramai kanak-kanak untuk melawat kampung berkenaan.

SAIFUL ANUAR

Rawang, Selangor