MERUJUK surat pembaca ANAK YATIM dalam ruangan FORUM Utusan Malaysia bertarikh 29 Jun 2016, saya selaku salah seorang peniaga bazar Ramadan di Gombak dengan ini mengemukakan permohonan maaf bagi pihak semua peniaga di kawasan tersebut.

Walaupun ada peniaga yang menggunakan cara licik untuk mengaut untung mudah, saya ingin menegaskan bahawa bukan semua peniaga begitu kerana rata-rata daripada kami hanya mencari rezeki halal untuk keluarga.

Adalah amat berat membaca pembeli tidak menghalalkan wang yang dibelanjakan untuk membeli barang jualan peniaga khususnya bagi diri saya sendiri yang tidak pernah menipu walaupun ketika berdepan kerugian.

Saya faham keluhan pembaca tersebut melihatkan ada dalam kalangan peniaga tertentu menaikkan harga dan tidak kurang juga yang mengecilkan saiz hidangan.

Bagaimanapun, saya mengambil pendekatan bersangka baik bahawa mereka tiada pilihan kerana terpaksa menanggung kos barang yang semakin meningkat.

Sempena sambutan Aidilfitri, sama-samalah kita bermaafan dan doakan dibuka hati mana-mana peniaga yang cuba menganiayai pembeli tetapi pada masa sama pengguna juga perlu bijak memilih serta laporkan perbuatan mereka kepada pihak berkuasa.

NASI CAMPUR

Gombak, Selangor